VIRAL
Insiden Murid Cedera Di Kepala Selesai, Keluarga Tarik Balik Report Polis!
Insiden membabitkan seorang murid sekolah rendah di daerah ini yang tular di media sosial selepas mendakwa cedera di kepala akibat terkena kotak pensel yang dibaling oleh seorang guru disahkan telah selesai.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, satu perjumpaan telah diadakan pada Khamis antara keluarga murid, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi membincangkan perkara berkenaan.
"Hasil perjumpaan kira-kira jam 12 tengah hari itu mendapati berlaku salah faham antara kedua-dua pihak.
"Laporan polis yang dibuat oleh keluarga murid terbabit sebelum ini juga telah ditarik balik pada hari yang sama sekitar jam 4.40 petang," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kes itu kini telah dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah Besut untuk tindakan lanjut.
Katanya, sebelum ini pihak polis menerima laporan pada Rabu, di mana pengadu mendakwa anaknya mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala selepas terkena objek yang dibaling oleh guru ketika dalam kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak, Pasir Akar, di sini.
"Hasil siasatan lanjut mendapati pengadu turut memuat naik beberapa video berkaitan kejadian itu dan menularkannya di media sosial," katanya.
Video murid terbabit turut dikongsikan melalui Instagram capricedaddycap pada Rabu dan mendapat satu juta tontonan.
Dalam pada itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Jelas beliau, sebarang maklumat berkaitan kes jenayah boleh disalurkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video