Oleh: Rosie Nasir

Dua tahun pengajian di Australia dan dua tahun berikutnya di Paris; Brian bertuah kerana terlolos ke kamar Dior Paris secara tidak sengaja. Apabila pengurusan Dior Paris tercari-cari perantis baru untuk dirumahkan bersama helaian-helaian ikonik mereka — Brian lekas berkata ya.

Lalu menyerah sepenuh jiwa raga menuntut ilmu di sana. Capricorn, zodiak yang ditugaskan kepada Brian untuk dipersembahkan pada Anugerah Gala InTrend 2017. Kami gali sari ilham Capricorn yang bakal menggemerlapi malam neon pancasakti.

Bagaimana Brian bermula sebagai pereka fesyen?

Minat itu wujud sejak kecil lagi. Ibu rajin menjahit baju baru untuk saya. Dan tiap kali dia bawa saya menemaninya beli fabrik baru, tiap kali itu jugalah hati saya berbisik-bisik: “Saya mahu jadi pereka fesyen bila saya besar nanti.” Bagaikan mantra sejak kecil.

Seronokkah menjadi pereka fesyen?

Ia sebuah kerjaya yang serius. Kerjaya untuk ‘bekerja’. Bukan untuk ‘bermain-main’ atau mengejar glamor seperti yang banyak orang sangkakan. Ia menuntut fokus, dedikasi, komitmen pada kehalusan dan perincian kecil yang tak mungkin boleh anda bayangkan (apatah lagi kalau anda tidak faham tentang kemahiran memotong kain dan menjahit). Tetapi pada kemudian hari, hasilnya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

‘DNA’ rekaan Brian Khoo yang membezakan anda dengan ratusan pereka lain?

Rekaan saya ‘silent’. Tetapi dalam ‘kesenyapan’ itu, ia berlumur tenaga dan kuasa. Saya suka mencabar pemikiran konvensi. Menyergah keselesaan aliran fesyen stereotaip.

Saya suka melanggar prinsip rekaan tipikal. Tetapi ia tetap terpelihara dalam aura, sofistikasi dan kelas gaya tersendiri. Ia wajar menjadi ‘lain daripada yang lain’, tetapi tidak kelihatan ‘murah’.

Ramalan tentang fesyen tahun hadapan?

Fabrik jarang dan lut cahaya dalam remang palet warna pastel yang romantik dan ‘dreamy’.

Idola anda?

Thierry Mugler. Tapi sayang sekali dia sudah berhenti merekacipta. Rekaannya selalu memukau, selalu luar biasa.

Apa lagi yang mahu Brian capai?

Saya sedang mengerjakan rangkaian pakaian uniseks. Ia berteraskan rekaan baju-T berembroideri yang ‘fun’ untuk pasaran besar. Kami juga mahu terus menawarkan ‘bespoke services’ dalam menukang sut dan gaun-gaun indah.

Pakaian yang tak akan sekali-kali anda sarungkan, bak kata orang, “Sooooo salah?”

Jangan sesekali berkata, “Tidak” kepada apa jua cabaran. Kehidupan kita ini tidak statik kerana kita sentiasa bergerak dan bereksplorasi. Saya sendiri sudah mencuba begitu banyak stail dan gaya berpakaian sehinggalah suatu hari saya tersedar, oh! Benarlah kata cendekiawan fesyen – ‘less is more’.

Kalau Brian diberi RM100 untuk dibelanjakan dalam sehari...

Ini pesan ayah yang akan saya ingat sampai bila-bila: “Simpanlah satu pertiga untuk hari susah, satu pertiga untuk makan-minum kamu dan satu pertiga lagi untuk kamu sedekahkan kepada orang lain.”

Zodiak dikatakan memberi kesan dan pengaruh pada cita rasa fesyen, komen?

Saya percaya, lengkung cakerawala ini sebenarnya punya ‘magnet’ pada cita rasa peribadi manusia. Ambillah peluang ini untuk mengolah elemen-elemen itu.

Apa yang Brian sedang kerjakan untuk #InTrendGala2017?

Saya mecipta busana inspirasi Capricorn, memanfaatkan fabrik lembut, halus namun mewah. Di atasnya bertaburan perincian-perincian indah yang perlu dikerjakan secara manual. Ia ‘senyap’ tetapi siluetnya gah dan terlihat sangat berkuasa.

Pereka fesyen @briankhoo @bybriankhoo kini dalam proses pembikinan busana khas #InTrendGala2017 inspirasi zodiak #Capricorn. Watch this space for more updates! Penyelaras & Editor Video: @hakimi_tajulasari Videografi: @zahierkifly Grooming: @ayangkamell #InTrendMalaysia #InTrendGala2017

A post shared by InTrend Malaysia (@intrendmalaysia) on

Nasi Lemak to Vegas!! Get together and support Samantha for Miss Universe National Costume competition today!! Let's share our Nasi Lemak to the world to win the National Costume and the FIRST Miss Universe of Malaysia! Malaysia ?? #nasilemaktovegas #missuniverse2017

A post shared by Brian K (@briankhoo) on