gaya hidup
#LetakGerak – “Siapa Ambil Gambar, Sila Keluar Group.” ALTIMET Bantu Jiran Tetangga Tanpa Rakaman
Menyedari kesusahan yang melanda sebahagian mereka yang terkesan dek perlaksanaan PKP, ramai antara kita rasa terpanggil untuk turun padang membantu apa yang termampu. Dan, antara ramai-ramai selebriti juga orang perseorangan yang menganjurkan kutipan dan bantuan ini, penulis tertarik dengan cara Altimet.
Dianjurkan beberapa minggu yang lalu, kerja amal ini dilakukan dalam skala yang kecil kemudian ditambah dengan dana orang awam yang sudi menderma. Derma Kilat Rakyat adalah inisiatif Projek Bangsa Malaysia yang diusahakan Altimet dan team untuk menyalurkan bantuan berupa makanan di sekitar Kuala Lumpur.
Menariknya, Altimet dengan tegasnya memberitahu akan menghulurkan bantuan tanpa merakamkan detik itu untuk elak menjatuhkan maruah mereka. Sesuai dengan tanda pagar perjuangannya, #LetakGerak. Barang sumbangan hanya akan diletak di depan pagar rumah. Tidak perlu mengambil gambar penerima juga Altimet tidak membenarkan sesiapa mengambil gambar mereka.
Advertisement
Misi mereka adalah untuk meronda sekitar kawasan berdekatan sehingga tiada lagi bendera putih dikibarkan. Tahniah Altimet dan team!
Inilah perjuangan yang kita mahukan. Memberi sampaikan tiada siapa pun tahu. Ya, keikhlasan itu adalah rahsia orang itu dengan Tuhannya. Namun, menjaga aib dan air muka di penerima adalah hak setiap manusia.
Tidak dipuji puja di dunia tak mengapa, asalkan kita pulang ke negara abadi nanti tidaklah dengan poket yang kosong. Kita mahu segala amalan yang dilakukan di dunia ini menjadi aset membantu kita di akhirat kelak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kalau kamu zahirkan sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian daripada kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 271)
Must-Watch Video