Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

MAKAN GAJI Bukan Jaminan Untuk Terus Hidup – Pekerja Penerima VSS Ini Buktikan Rezeki Mereka Masih Ada.

Penulis Jemputan
07/03/2020 15:22 MYT

Oleh: Hatina Shuib




Rintihan dan tangisan air mata menjadi peneman seketika saat diumumkan syarikat berada dalam keadaan tidak stabil. Hela nafas bagaikan terhenti, memikirkan hutang pinjaman rumah, hutang kenderaan masih bertahun lagi perlu dilunaskan, Memikirkan hal lampin, susu anak dan belanja sekolah, bermacam-macam lagi, siapa yang akan tanggung selepas tidak bergaji lagi nanti? Ya Allah, bantu aku, halakan aku ke jalan yang diredai.


Saat hilang pekerjaan, ada yang terpaksa meminjam kepada saudara mara, sahabat handai dan kenalan rapat. Namun, sampai bilakah mahu terus menyusahkan insan lain? Masing-masing ada komitmen sendiri yang perlu dilunaskan saban bulan. Paling menyedihkan kisah seorang rakan terdekat dalam kalangan orang media yang terpaksa memberikan bayi berusia tidak sampai setahun minum air sirap kerana sudah kering-kontang duit simpanan.


Tidak kurang yang berhujan panas berniaga di kaki jalan. Jika dulu bekerja di bawah penghawa dingin, kini tidak lagi merasai pengalaman sama. Hujan panas, terik mentari adalah rakan karib setelah diberhentikan kerja bagi mereka yang berusaha sedaya mungkin untuk bekerja termasuklah mengisi kekosongan bagi pekerjaan seperti penghantar makanan. Nak dapatkan seringgit dua, bukan lagi perkara mudah, Perlu berhempas pulas demi sesuap nasi.


Usah ditanya kenapa tidak meminjam pada keluarga terdekat atau rakan kenalan. Sudah tebal seinci wajah meminta pertolongan mereka. Cukup-cukuplah. Mereka juga ada keluarga untuk disara. Namun, pelangi nan indah pasti menyerikan kusam wajah, mahupun anluka perasaan yang dhiris. Kehilang kerja bukan perkara mudah untuk dinoktahkan dengan satu keredaan. Hanya yang merasai mampu menggambarkan. Setiap dugaan itu ada hikmahnya. Tidak akan diduga seseorang itu jika tidak kuat. Langkah dan terus melangkah.


Tiada istilah malu untuk mencari rezeki baharu selepas kemarau melanda untuk kelangsungan hidup. Jika dulu merias cantik wajah atau berkemeja bunga indah ke pejabat, kini fokus hanya mahu melariskan jualan kerana ramai yang menganggur mengambil langkah cepat mempromosikan produk masing-masing. Benarlah, sembilan daripada 10 sumber rezeki itu adalah daripada sumber perniagaan.


Susulan pemberhentian mengejut daripada syarikat terutama industri media, ramai kenalan yang mengambil langkah drastik memulakan perniagaan jualan makanan atau pun produk serta perkhidmatan dari rumah. Bermodalkan semangat dan tekad bangkit semula dari kesedihan lalu, ramai yang berjaya melepasi fasa duka dengan hasil perniagaan. Walaupun tidak semewah pendapatan dulu, cukuplah sekadar menambah pendapatan keluarga terutama mereka yang suami isteri diberhentikan kerja di syarikat sama.









Suami Isteri Bina Dapur Mak Senah

Bagi Nora Mahpar dan Amin Ridzuan Ishak, pasangan suami isteri ini tekad berhenti kerja setelah keadaan syarikat tidak mengizinkan lagi mereka meraih rezeki membesarkan keluarga kecil mereka. Bersandarkan kemahiran memasak yang diperoleh daripada ibu tersayang, pasangan suami isteri ini memadamkan episod duka yang mana tiada lagi pendapatan tetap untuk meneruskan kehidupan.

Mereka berdua bergelar usahawan makanan di bawah jenama Dapur Mak Senah dan kini sudah pun berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi syarikat Mak Senah Legacy. Setiap hari, Nora dan Amin bangun seawal jam empat pagi menyediakan hidangan untuk dihantar ke beberapa syarikat untuk makanan tengahari. Menu paling terkenal sehingga memukau selera pelanggan ialah Nasi Ambang.

Syukur, setelah beberapa bulan bertungkus lumus untuk mendapatkan kepercayaan, Dapur Mak Senah semakin mendapat tempat di hati pelanggan. Kini, lebih daripada 200 lunch box di hantar kepada pelanggan setia dan pelanggan baharu di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang setiap hari. Kata Nora, Allah dah susun semuanya. Hasil berniaga segala komitmen bulanan boleh diselesaikan dengan baik.

Jika dulu, tangan menaip artikel untuk rezeki bulanan, kini tangan sama mengayuh sudip dan tangkas membungkus nasi demi sesuap nasi. Kata beliau, kepada mereka yang diberhentikan kerja, usah kecewa dan terlalu lama menangis kerana sinar mentari ada menyinari perjalanan diri. Pelangi pasti muncul selepas hujan membadai jiwa.










Nas Kini Usahawan Kecantikan

Nas Norziela Nasbah, ibu kepada dua anak comel ini, mengambil VSS setelah keadaan syarikat semakin merudum. Walaupun sukar membuat keputusan pada awalnya memandangkan kerjaya penulisan adalah jiwanya selama ini, beliau yakin ada rezeki lebih baik menantinya. Walaupun bukan mudah pada awalnya mengharungi kehidupan apabila tidak lagi bergaji tetap, Nas Norziela bersyukur kerana sokongan keluarga tidak pernah surut.


Beliau kini bergelar juruterapi kecantikan bagi sebuah produk kecantikan. Setiap hari, beliau melayan permintaan pelanggan untuk merapi wajah. Walaupun masih baharu dalam dunia kecantikan, beliau sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang menjalankan peranannya. Kata Nas Norziela, walaupun sukar, perjalanan perlu diteruskan.

“Pernah Nas menangis dalam kereta kerana ada yang membatalkan khidmat. Sudahlah jauh tempat dituju, dibatalkan di saat akhir. Minyak pula perlu diisi kerana hampir kehabisan walaupun perut sendiri tidak berisi lagi, Tapi Nas tiadk putus asa, selepas itu rezeki berganda Nas dapat. Tak menang tangan dengan permintaan pelanggan.,’katanya.


Pesan Nas kepada mereka yang senasib, Allah mencintai kita. Pandang ke hadapan kerana rezeki menggamit kita. Sapu air matamu kerana bahagia itu dihadapan bukan berpaling ke ke belakang. “Hari Nas lebih indah apabila redha dengan ketentuan Allah, Ramai lagi yang bukan saja hilang pekerjaan tetapi hilang keluarga tersayang. Usah dan tawakal, Biar yang kuasa susun atur rezeki kita,”katanya.










Keluar Dari Zon Selesa

Wanita manis bernama Tina ini, sudah terbiasa dengan kehidupan agak senang kerana mempunyai gaji sendiri. Bak kata orang, senang bila wanita bekerja kerana nak beli baju, tudung atau alat mekap tak perlu guna duit poket suami. Jika dulu, berkodi tudung senang-senang saja dibeli, setelah diumumkan pemberhentian kerja, terduduk mengenang nasib diri. Terdetik betapa lekanya membazir duit saat gaji berkepuk diperoleh setiap hujung bulan.


Dunia gelap seketika. Walaupun sudah tiada komitmen perlu dibayar, hutang jasa pada ibu bapa bagaimana pula nanti kerana sepanjang 10 tahun bekerja sebagai wartawan, tidak pernah sekalipun anak kelahiran Pahang ini alpa menunaikan tanggungjawab sebagai anak. Jasa dan pengorbanan ibu bapa tiada tolak banding. Lantas, Tina yang sebelum ini hanya mahir menulis artikel, kini beralih membuka perniagaan kecil-kecilan sebagai peniaga kuih muih.
Daripada tidak pandai menguli tepung, kini karipap dan kuih badaknya menjadi sebutan ramai.


“Saya niat meniaga ini nak bantu suami. Masa saya diberitahu keadaan syarikat mahu buat pengecilan pekerja, rasa gelap seketika. Sedih, kosong perasaan saya ketika itu. Dua benda paling utama terlintas ketika itu. Masih bolehkah aku memberi duit bulanan kepada ma, ayah dan macam mana nanti nak jawab apabila anak mahu makan macam-macam atau beli permainan kerana selama ini rezeki melimpah ruah dengan hasil bekerja.”
“Tetapi, sokongan suami dan ibu yang meyakinkan saya membuatkan gelora hati semakin reda. Saya kuatkan semangat dengan membeli sekilogram tepung, marjerin dan keledek untuk produk saya. Syukur hari pertama jualan, semua jualan saya laku. Saya tahu ketika itu betapa saya disayangi Allah dan rakan-rakan. Ada yang membeli semata-mata mahu tunjuk sokongan,” katanya.


Hari ini, ibu kepada dua anak ini menghasilkan lebih 500 biji kuih sehari dan produk signatur Kelompong Sira menerusi produk jenama Heritage Kitchen by Dapoq Chacha. “Tolong doakan saya. Rezeki Allah itu luas. Yakin Allah mendengar bisikan hati kita,” katanya.










Daripada Memetik Kamera Kini Ke Dunia Masakan

Gadis tinggi lampai ini dulu ke hulu ke hilir memetik kamera merakam detik manis, tragedi mahupun memastikan tugasan mengambil gambar VVIP di satu majlis berjalan lancar. Sejak beberapa bulan lalu, tiada lagi bahu yang menggalas kamera berat berkilogram kerana tugasannya diakhiri dengan satu peristiwa menyayat hati. Secara tiba-tiba, tempat bekerja yang menjadi periuk nasi ditutup rentetan keadaan ekonomi yang semakin tidak baik.


Wahidah Zanian Aripin, bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan terkemuka selama 11 tahun. Malangnya, anak kelahiran Bradford, United Kingdom ini diberhentikan secara drastik,
Beliau kini berniaga secara dalam talian kek dan kuih muih tradisi atas nama Meow Cook Room dan masih meneruskan minat sebagai jurufoto.dengan memulakan perkhidmatan home studio photography - bagi membantu usahawan baru yang mahu memulakan perniagaan produk untuk perkhidmatan gambar produk mereka.


“Saya buat perniagaan jenis ini untuk memudahkan urusan anak dan pada masa sama mencari rezeki di dapur rumah. Sebenarnya, sebelum ini tak pernah langsung buat kuih dan kek. Tak minat hal kewanitaan terutama hal dapur. Keadaan mendesak mencari rezeki selepas diberhentikan itu yang buat saya cuba belajar sendiri selain dorongan daripada arwah mak. Mak baru meninggal dunia dan arwahlah yang paling banyak membantu untuk membina semangat meneruskan kehidupan,” katanya.


Wahidah juga banyak belajar selok belok membuat kek dah kuih muih daripada Youtube. Antara produk dihasilkan adalah kek sarang semut, bengkang beras, tepung gomak, nona manis, kuih bakar pandan, kuih bakar berlauk, kek pandan gula Melaka dan pelbagai kek. Katanya, tragedi diberhentikan kerja membuatkan beliau keliru kerana ia berlaku sekelip mata. Diberhentikan tanpa bergaji selama dua bulan.

“Sehingga kini tiada pembayaran gaji tertunggak dan pampasan diberhentikan tidak ada kepastian. Saya pegang prinsip tubuh badan kita adalah aset paling berharga. Selagi mampu, cuba cari kekuatan dan kelebihan dalam diri kita yang Allah beri untuk mengusahakan sesuatu yang kita sendiri tidak pernah terfikir untuk lakukan,” katanya.









Bunga Peneman Setia Hafzan Sekarang

Wanita jelita kelahiran Terengganu, Norhafzan Jaafar, ada cerita tersendiri untuk dikongsi bersama sebagai sumber inspirasi pemangkin jiwa bagi mereka yang melalui situasi sama. Beliau menjadikan minat menggubah bunga sebagai kerjaya baru untuk dikemudi kini. “Sememangnya saya suka sesuatu yang indah. Minat bunga sudah lama dan gemar menghias rumah dengan bunga terutama saat lebaran.

“Sebelum berhenti kerja, saya sudah pun sertai bengkel dan kelas menggubah bunga untuk meningkatkan kemahiran dan belajar teknik terkini gubahan menerusi tunjuk ajar penggubah bunga tempatan,” katanya.


Beliau berkata, kini jiwa rasa lebih tenang kerana walaupun hilang sumber pendapatan, beliau mempunyai lebih masa membesar dan menguruskan cahaya mata. “Walaupun masih di awal perniagaan, sokongan suami dan anak-anak menjadi pemangkin semangat untuk saya membina nama di bawah jenama hadyah_byhafzanj. “Apabila kita rasa sedih dengan kehilangan pekerja, sebenarnya ada mentari muncul dalam sinaran dan aura berbeza,”katanya.









#Survival #Diberhentikan #VSS
;