Mendengarkan perkhabaran satu demi satu syarikat terpaksa ditutup dan seorang demi seorang pekerja terpaksa diberhentikan, hati jadi sayu. Terlihat pula peniaga-peniaga kecil yang tidak dibenarkan untuk membuat jual beli, lagi rasa terkesan. Habis bagaimana untuk meneruskan kehidupan hari-hari yang pastinya memerlukan duit. Walaupun kerajaan ada membantu tetapi berapalah sangat yang mampu ditampung? Itu belum dikira kehidupan selepas PKP ini nanti. Akan adakah sinar atau menjadi lebih buruk?



Bukan Mahu Negatif, Tapi Kena Realistik

Bukan lagi masa untuk bermeditasi dan fikirkan yang baik-baik sahaja, jika ia tidak mampu mengubah apa-apa. Esok memang akan ada tetapi duit dan keperluaan adakah mencukupi untuk menampung seluruh isi rumah nanti? Kalau selepas PKP, masih boleh meneruskan pekerjaan mungkin tidaklah menjadi kegusaran sangat tetapi bagi yang memang terus gulung tikar, bagaimana untuk mencari punca pendapatan?


Jika mahu membuka perniagaan pun, rasanya saat ini bukanlah masa yang sesuai. Tidak ramai yang mahu berbelanja pada masa ini, apatah lagi pada barangan yang bukan lagi keperluan tapi lebih kepada kehendak. Daripada mahu mencuba, bimbang nanti memberi rugi besar pula apabila permintaan tiada. Bukan negatif tetapi banyak perkara perlu diperhalusi dalam keadaan kritikal sekarang ini. Setiap ringgit sangat berharga di kala ini.



Kredit Foto: Google


Simpati Kepada Yang Gaji Ikut Hari


Ada kerja, ada gaji. Tiada kerja, tiadalah gaji. Dan, dalam keadaan PKP yang membataskan orang ramai untuk keluar, bagaimana pula mahu turun bekerja sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, jurusolek, krew produksi, yang bekerja kampung dan sebagainya. Hal ini sangat memberi kesan apatah lagi yang punya keluarga besar. Ada yang terpaksa mengharapkan bantuan makanan daripada orang ramai. Mujur juga sekarang ini bulan Ramadan, maka ada masjid dan surau yang mengagihkan juadah berbuka rumah ke rumah.


Ini juga memberi impak besar kepada peniaga-peniaga kecil dan penjaja. Pastinya mereka tidak punya simpanan puluhan ribu yang boleh digunakan di waktu kecemasan kerana mereka bukanlah pemilik syarikat-syarikat besar, berelaunkan puluhan ribu ringgit. Kalau pun ada simpanan, setakat manalah boleh bertahan? Begitu yang terjadi kepada kebanyakan peniaga nasi lemak, tukang jahit, penjual buah, pencuci kereta dan lain-lainnya yang berjualan tidak sebesar mana.



Kredit Foto: Google



Berjimat Selagi Mampu, Teruskan Berdoa

Hanya itu yang mampu kita lakukan buat masa yang singkat ini. Ada pakar ekonomi yang menyarankan agar aset dicairkan buat masa sekarang untuk menampung keperluan asas. Hutang yang boleh ditangguh, silalah ditangguhkan. Aliran tunai sangat penting buat masa ini. Jangan membeli pada benda yang tidak perlu atau berbelanja berlebihan hatta untuk makanan sekali pun.

Dan, sebagai umat Islam, teruskan berdoa dan bergantung harap kepada Tuhan yang satu. Doa senjata kita. Apatah lagi pada bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Semoga ada sinar harapan di depan sana. Dimudahkan urusan dan dilancarkan rezeki seperti air sungai yang terus mengalir tanpa henti.



Kredit Foto: Google



Kredit Foto: Google