Sejak zaman-berzaman, industri filem memainkan peranan penting dalam memupuk stereotaip dan membentuk gambaran wanita dalam persada seni. Malangnya, yang paling biasa dilihat ialah tanggapan seksis terhadap wanita yang jarang diberi watak utama tetapi sering dicitrakan ke dalam filem untuk memainkan watak stereotaip atau watak untuk dieksploitasi; digunakan dan didera malah dirogol.


Ini dapat dilihat dalam filem-filem popular yang diterbitkan di dalam dan di luar negara, di mana penonton disogok dengan tanggapan bahawa eksploitasi dan seksualisasi wanita adalah normal dan boleh diterima oleh masyarakat. Namun demikian, sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan kesedaran tentang masalah ini dan lebih ramai di kalangan masyarakat yang menyuarakan bantahan terhadap diskriminasi wanita dalam industri seni dan perfileman.


Beberapa wanita terkenal dalam industri filem tempatan; Sharifah Amani, Sofia Jane, Susan Lankester, Fatimah Abu Bakar dan Daiyan Trisha, telah berkongsi pengalaman peribadi tentang perkara ini melalui sesi dialog di Twitter Spaces yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood.


Antara sorotan wacana ini ialah isu adegan rogol dalam filem, gangguan seksual dalam industri dan buli siber di media sosial.


Berkongsi pengalamannya, Sharifah Amani menyatakan bahawa cerita yang dipaparkan di skrin adalah yang paling penting kerana ia mencerminkan masyarakat, cara berfikir, budaya dan bahasa kita. "Malaysia mempunyai ramai wanita hebat yang berjaya di persada dunia tetapi pencapaian wanita ini jarang ditonjolkan atau diceritakan di persada seni tempatan," katanya. Beliau mengakui bahawa beliau tidak lagi biasa dengan apa yang dilihat di kaca TV dan tertanya-tanya sama ada industri filem negara telah tersasar daripada perkara yang paling penting - penceritaan.


“Kenapa kita tidak boleh ada adegan yang memaparkan sepasang suami-isteri menunjukkan kasih sayang tetapi adegan rogol boleh pula? Apabila kita mempunyai cerita tentang wanita yang jatuh cinta dengan perogolnya, apakah yang kita cuba ajar kepada generasi akan datang?” soal beliau.


Sofia Jane turut bersetuju dan berkata bahawa sesetengah lelaki tidak menyedari kesan adegan rogol terhadap masyarakat kerana ianya telah dinormalisasi. Beliau menggesa orang ramai untuk mempersoalkan bagaimana setiap cerita boleh memberi kesan kepada para penonton.


“Saya sering berinteraksi dengan gadis-gadis bawah umur di rumah perlindungan yang menjadi ibu kerana dirogol. Sekiranya mereka menonton temu bual di televisyen di mana sekumpulan lelaki bergurau tentang adegan rogol, apakah kesan kepada mereka secara emosi dan mental?” katanya dan menambah bahawa beliau sendiri pernah mengalami gangguan emosi apabila adegan rogol yang dilakonkannya beberapa tahun lalu telah diremehkan sebagai kandungan jenaka. "Cerita kita tidak lagi meneroka emosi tetapi mengeksploitasinya," katanya.






Sementara itu, Daiyan Trisha berkongsi pandangannya mengenai gangguan seksual dan menegaskan bahawa, sama ada ianya berlaku dalam talian atau di luar talian, ia adalah perkara yang memalukan dan harus dihentikan. “Saya telah mengalami gangguan seksual di set dan gambar saya juga disalahgunakan di beberapa laman web yang tidak bertanggungjawab.


Saya telah bercakap mengenai perkara ini berkali-kali tetapi ia tetap berulang. Akhirnya, saya rasa seperti saya hanya perlu membiasakan diri sahaja, dan ini sangat menyedihkan tetapi saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya lakukan," katanya. Beliau menambah bahawa dengan peningkatan kesedaran tentang isu-isu ini serta pengenalan kod tingkah laku untuk industri mengawalselia keadaan, beliau berharap ianya akan menjadi pemangkin untuk perubahan yang positif.


Fatimah Abu Bakar percaya bahawa sememangnya terdapat perubahan kerana kini, lebih ramai orang yang lantang menentang seksisme. Namun demikian, beliau berpendapat bahawa ia ibarat merobohkan tembok yang telah lama terbina oleh anasir-anasir negatif. “Ini adalah satu perjalanan yang panjang tetapi jika kita percaya bahawa kita perlu meninggalkan bidang seni sebagai sesuatu yang generasi muda mahu teruskan, kita tidak boleh berputus asa. Nasihat saya untuk semua adalah untuk terus melawan orang-orang ini. Jangan bertolak ansur dengan mentaliti 'biasalah, budak lelaki’. Jika ada yang berpendapat bahawa tingkah laku seperti itu adalah perkara biasa dan telah dinormalisasi sebelum ini, kita sama-sama tegaskan bahawa ia tidak lagi boleh diterima,”katanya.


Sementara itu, Susan Lankester berkata, malangnya terdapat juga segelintir wanita yang turut menjadi pendorong (enabler) budaya buruk ini dalam industri perfileman tetapi beliau menambah bahawa sememangnya terdapat perubahan yang positif. "Ramai penggiat seni wanita kini memegang jawatan penting dalam industri dan dengan tenaga yang telah dijana baru-baru ini, saya rasa penceritaan kita akan menjadi lebih baik," katanya.


“Kita harus menggunakan media sosial untuk membantu misi kita dan beri fokus pada kandungan yang menggambarkan wanita secara positif. Gadis dan wanita harus diberi kuasa untuk menceritakan kisah mereka sendiri dan juga galakkan pengikut mereka untuk melakukan perkara yang sama,” tambahnya.


Salah satu cara untuk menggalakkan kandungan yang lebih baik ialah melalui kawalselia kendiri, di mana pengguna diberi kuasa untuk bersuara dan membantu industri berkembang dengan sihat. Sumber utama bagi pengawalseliaan kendiri kandungan ialah Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan). Dirangka oleh Forum Kandungan pada tahun 2004, Kod Kandungan ialah satu set garis panduan yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penggunaan kandungan merentas semua platform media digital.


Kawalselia kendiri melibatkan semua pihak dalam ekosistem kandungan. Apabila kandungan yang menjelekkan disiarkan di televisyen, memang ramai yang akan mengecamnya di media sosial tetapi kami amat menggalakkan mereka untuk turut membuat laporan kepada Forum Kandungan. Kami diberi kuasa untuk menyiasat dan menguatkuasakan Kod Kandungan ke atas mereka yang melanggarnya,” kata Mediha. “Industri kandungan memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan masyarakat. Kami di Forum Kandungan akan terus menganjurkan dialog untuk membincangkan isu-isu ini bersama semua pihak berkepentingan yang boleh membantu untuk benar-benar mempengaruhi perubahan yang positif,” tambahnya.


Forum Kandungan kini sedang menjalankan rundingan awam di seluruh negara, bertujuan untuk mengumpulkan maklum balas daripada orang awam mengenai cadangan semakan Kod Kandungan, termasuk peruntukan untuk menangani penyalahgunaan dalam talian dan keganasan berasaskan jantina (online abuse and gender-based violence).


Orang ramai digalakkan untuk memberi maklum balas mengenai rundingan awam ini untuk memastikan Kod Kandungan baru mengambil kira keperluan dan kehendak semasa pengguna. Maklumat lanjut mengenai latihan ini boleh diakses di www.contentforum.my.