Tanyalah sesiapa yang berjaya dalam hidup ini. Baik dalam soal perniagaan, menguruskan kehidupan, membina kerjaya dan sebagainya; tiada istilah jalan pintas. Banyak liku, ujian, jatuh dan bangun juga banyak lagi episode duka lara yang menguji kekentalan hati. Tak semudah apa sahaja dimahukan, boleh dicapai sekelip mata. Hinggakan kalau mengalir air mata darah sekalipun, itulah yang perlu ditempuhi. Untuk membina nama, empayar, legasi dan segala yang indah untuk ditinggalkan.

Kredit Foto: Google


Cari Duit Sendiri Kan Lebih Puas!

Apa sahaja kelebihan, bakat dan potensi yang anda miliki; salurkan pada tempat yang betul. Jangan pula menggunakan rupa paras atau kelebihan diri yang lain untuk mengaburi mata orang lain.Tanyalah kepada sesiapa waima peniaga kecil nasi lemak umpamanya. Yang bersusah payah bagun awal pagi untuk memasak dan menyediakan kelengkapan berniaga. Pasti berasa puas apabila hasil titik peluhnya berbayar dengan jualan yang laris dan habis dibeli orang ramai. Begitu juga dengan mereka yang bekerja makan gaji atau menjawat apa jua jawatan. Pasti berasa puas selepas berhempas pula mengusahakan sesuatu menerima hasil yang amat memuaskan. Sama ada diberi ganjaran seperti kenaikan pangkat, gaji dan lain-lain. Sudah tentu berasakan berbaloi dan setimpal dengan apa yang diusahakan selama ini. Kepuasannya berganda apabila dilakukan sendiri, untuk kegunaan sendiri tanpa mengharapkan belas simpati.


Kredit Foto: Google


Usaha Untuk Berdikari

Sampai bila mahu mengharapkan belas ihsan orang lain, menggunakan segala jenis kabel atau tangan-tangan ajaib? Bukankah kejayaan itu lebih bermakna dan berharga andai ia dilalui dengan segala keringat, tenaga, pengorbanan masa dan apa jua kudrat yang Allah pinjamkan kepada kita? Sungguh, siapa yang tidak mahu hidup senang-lenang dikelilingi kemewahan. Apa sahaja yang dimahukan boleh dibeli atau diadakan dengan mudah. Tetapi perlu diingat, tak semudah itu untuk mencapainya. Bahkan fitrah manusia sendiri bukanlah dari bayi terus boleh berjalan dan berlari. Banyak peringkat yang dilalui. Bermula dengan mengiring, memusing, meniarap, merangkak, bertatih hinggalah baru boleh berjalan dan berlari. Begitu jua proses yang dilalui dalam mencapai sebuah kejayaan.


Kredit Foto: Google


Belajar Dan Terus Belajar

Tuntutlah ilmu selagi ia memberi hasil dan pulangan, berguna untuk diri kita dan orang lain dan tidak menyesatkan. Sama ada ilmu agama, perubatan, kewangan, seni mempertahankan diri, perniagaan, psikologi dan banyak lagi cabang ilmu yang berfaedah. Gunakan masa yang ada untuk terus menimba ilmu. Apatah lagi jika anda masih muda dan bertenaga. Rebutlah peluang yang masih bersisa. Kerana percayalah semakin banyak yang anda pelajari semakin banyak yang anda belum ketahui. Juga apabila berbicara soal belajar ini, ilmunya takkan pernah habis. Justeru janganlah sia-siakan masa yang masih berpihak kepada anda.


Kredit Foto: Google


Halal Dan Berkat

Jika sesuatu kerja dilakukan dengan niat yang betul dan cara yang halal pastinya beroleh keberkatan. Bagaimana mahu tahu ia halal dan berkat? Tetap berasa cukup dan bersyukur walaupun sedikit. Dan nescaya Allah akan melipat gandakan rezeki jika ia dilakukan daripada sumber yang halal lagi diredhai. Carilah keberkatan, ikhlas dalam melakukan pekerjaan dan tahu bezakan mana yang halal dan haram. Jauhi amalan rasuah, penindasan, menjatuhkan orang lain dan pelbagai lagi pendekatan yang salah dan tidak beretika.


Kredit Foto: Google


Perbetulkan Niat

Tanya pada diri mengapa anda mahu kaya dan berjaya? Adakah disebabkan kenangan silam sewaktu kecil anda dihantui kemiskinan yang mengheret kepada pelbagai kesulitan dan kepayahan? Atau anda mahu meningkatkan taraf hidup keluarga dan ingin berbakti kepada yang memerlukan? Usah berhenti bertanya dan buat senarai semak. Malah paling penting, perbetulkan niat mengapa anda mahu meraih semua ini. Jika niat untuk membantu orang lain keluar daripada kemiskinan, maka lakukan dengan cara yang betul, halal lagi diberkati.

Ingatlah bahawa ujian dan dugaan setiap orang berbeza jalannya. Jika ia ditempuh dengan jalan yang sabar, tawaduk, usaha dan tawakal pasti ada penyelesaiannya. Kembalilah kepada Maha Pencipta dan jangan pernah putus asa dalam setiap tindak-tanduk anda.