Meskipun usia 30-an diberi jolokan 20-an baharu, dekad baharu ini harus menjadi peringatan untuk meningkatkan penjagaan diri. Tidak kiralah sebagai wanita berkerjaya, suri rumah, ataupun srikandi yang menggalas kedua-dua peranan ini, ada kalanya kita terasa tertekan dengan beban yang ditanggung. Kesannya, kita alpa akan kesihatan diri serta tanda-tanda penuaan. Keputusan yang anda ambil pada fasa ini boleh mendatangkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan masa depan anda. Justeru, kami sajikan lima petua kesihatan dan diet tatkala anda melangkah ke fasa ini, untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

Usia 30-an melambangkan satu dekad bermakna lagi penting. Setiap keputusan anda sepanjang tempoh ini mampu memberi kesan berpanjangan terhadap kesihatan masa depan anda. Ketika anda sibuk mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi, mungkin anda merasai badan lebih cepat letih, kekuatan otot mula merosot, atau tubuh tidak lagi fleksibel berbanding di usia 20-an.

Kredit Foto: Abbott


Sungguhpun proses penuaan tidak dapat dielakkan, namun ia bukanlah sesuatu yang perlu digeruni, dengan gambaran badan yang semakin lemah dan kurang bertenaga. Sebaliknya anda masih boleh kekal cergas sambil menghayati proses semula jadi ini!

Membuat pilihan bijak tentang jenis makanan dan masa makan anda dapat mencetuskan impak positif terhadap kesihatan jangka panjang anda. Sememangnya, kesihatan tidak terpisah daripada nutrisi yang baik. Nutrien utama seperti protein berperanan penting untuk menjana tenaga sel-sel badan, mengawal fungsi hormon, serta menyokong kekuatan otot anda untuk kehidupan seharian dan menyokong fungsi imun.

Berikut merupakan beberapa petua kesihatan dan diet bagi membantu anda di usia 30-an:
  1. Ambil protein yang mencukupi
Protein merupakan komponen penting bagi setiap sel badan anda dan berfungsi menghasilkan hormon, enzim, darah, antibodi, serta kulit, tulang dan otot. Ia lebih penting lagi seiring peningkatan usia, kerana protein mempengaruhi segala aspek kesihatan anda - baik pergerakan, keseimbangan, postur, mahupun kekuatan dan tenaga. Jadi, sasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 52g protein setiap hari dari sumber haiwan yang rendah lemak seperti ayam, makanan laut, atau telur, atau gabungkan protein tidak lengkap dari sumber seperti kekacang, sayur-sayuran, dan biji-bijian dalam setiap hidangan. Membahagikan pengambilan protein kepada tiga porsi dan di setiap hidangan utama juga dapat membantu meningkatkan kekuatan otot anda.

Kredit Foto: Abbott
  1. Terapkan tabiat senaman
Senaman dan nutrisi yang betul dapat membentuk gaya hidup sihat. Pada usia 30-an, anda harus bersenam dengan lebih bijak dan bukannya lebih keras. Terapkan senaman ketahanan yang terbukti berkesan meningkatkan jisim dan kekuatan otot. Selain itu, senaman juga membantu mengurangkan tekanan dan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung dan diabetes. Tidak minat aktiviti fizikal? Tidak mengapa, mula dengan yoga dan meditasi ringan untuk memupuk rutin dan tingkatkan tahap aktiviti anda secara beransur-ansur.
  1. Cukupkan tidur
Walaupun kedengaran mudah, mendapat tidur lena sangat mencabar khususnya bagi golongan ‘workaholic’, ibu bapa dengan anak-anak kecil, atau mereka yang berdepan gangguan tidur sejak usia 20-an. Pastikan anda mendapat tidur mencukupi sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam setiap malam. Menurut kajian, tidur mencukupi dapat mempertingkatkan emosi anda, menguruskan berat badan, serta mencapai status jantung yang lebih sihat.

Kredit Foto: Abbott
  1. Pertimbangkan suplemen oral
Biarpun anda dapat memperoleh nutrien mencukupi melalui makanan, bukannya mudah untuk mendapat kuantiti yang tepat setiap hari. Jika anda payah untuk memenuhi saranan nutrien harian seperti vitamin D, Omega-3, kalsium atau protein, dapatkanlah rundingan doktor tentang pengambilan suplemen atau nutrisi khusus. Contohnya, produk Ensure Max Protein dari Abbott merupakan pilihan sedia diminum yang ideal untuk memenuhi keperluan protein harian anda. Ia kaya dengan 25 vitamin dan mineral penting bagi memelihara paras tenaga dan kesihatan anda.
  1. Cakna badan dan kesihatan anda
Usia 30-an juga dianggap masa tepat untuk memulakan saringan dan pemeriksaan kesihatan berkala. Ini kerana pelbagai penyakit gaya hidup mungkin akan mula menunjukkan tanda-tandanya, khususnya jika anda mempunyai sejarah keluarga penyakit barah, diabetes, atau penyakit jantung. Malah, kajian menunjukkan penghidap penyakit kritikal, khususnya mereka yang berada lama di hospital, berisiko mengalami kehilangan otot yang ketara, kelemahan tulang dan otot, sekali gus menjejaskan keupayaan fizikal. Komunikasi berterusan dengan doktor adalah kunci, supaya anda lebih cakna tentang kesihatan diri dan bersedia berdepan sebarang masalah kesihatan atau cabaran berkaitan dengan penuaan.

Wanita 30-an kini sibuk memenuhi tuntutan profesional dan peribadi yang semakin mencabar. Sebaik mencecah usia ini, anda mesti berusaha mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan penjagaan diri. Harus diingat, kesihatan pada fasa ini akan menjadi penentu kesihatan anda pada masa akan datang. Sekecil manapun langkah permulaan anda, perubahan diet dapat mencetuskan impak jangka panjang yang bermakna bagi menangani perubahan badan anda. Justeru, tumpukanlah perhatian pada kesihatan anda hari ini demi melangkah ke hari esok yang lebih sihat dan bahagia!

Semoga bermanfaat!