Kisah penghijrahan selebriti bukan lagi satu berita asing yang kita dengari saban hari. Bahkan sejak kebelakangan ini semakin ramai wajah-wajah glamor yang pernah menghiburkan kita dahulu kian memperlahankan rentak mereka dek mencari cinta sejati, suci lagi agung yakni mendambakan diri kepada Ilahi.

Mereka juga manusia biasa seperti kita yang punya keinginan tersendiri. Ada impian untuk dikecapi bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang insan. Yang punya hasrat dan naluri menjadi hamba yang lebih baik. Yang hati mereka turut terjentik apabila menonton klip video atau muat naik di media sosial tentang soal mati, hari perhitungan, amal, kebaikan, balasan dan azab.

A post shared by Yusuf Bahrin (@yusuf_bahrin)

Kredit Foto: IG Yusuf Bahrin

Ya, hakikatnya kita semua adalah sama. Tetapi yang membezakan adalah status, pengaruh dan populariti yang mereka ada dan sudah establish dalam industri ini. Kerana status sebagai selebriti yang mereka ada, ke mana jua langkah kaki mereka pergi akan ada sahaja yang memerhati. Jika bukan mereka sendiri yang memuat naik sesuatu, tetapi sudah ada yang bersedia untuk merakam segala gerak-geri. Dan apabila pengaruh itu disebarkan ke jalan agama, pastinya ia disambut baik semua.

Namun sebagai peminat dan pengikut ada garis sempadan yang perlu kita hormati. Soal penghijrahan, hidayah dan seangkatan dengannya bagi segelintir orang terlalu peribadi untuk dikongsi. Tak semua bisa dicanang sana sini kerana mereka juga perlukan ruang dan masa untuk memperbaiki dan mempelajari. Hakikatnya perjalanan ini sebuah destinasi yang panjang. Terlalu banyak yang perlu ditampung, diperbetulkan. Hanya tekad, istiqamah dan niat dalam hati bisa menjadi benteng untuk dikekalkan momentum juga tingkat keimanan itu.

A post shared by Amar V. Asyraf (@amar_asyraf)

Kredit Foto: IG Amar Asyraf

Sokong dan Doakan
Berbicara soal hidayah, apa yang menjentik dan mengetuk pintu hati hingga mereka memilih jalan itu untuk didekati wajar diraikan dengan memberi galakan. Sokongan dan doa, itu yang kita semua perlukan. Usahlah dicemuh, memerli seakan mahu lihat selama mana mampu bertahan dengan semua itu. Sebagai manusia biasa juga, didiklah hati kita untuk bersangka baik.

Tidak kiralah sama ada mereka selebriti atau ada dalam kalangan keluarga, saudara-mara kita yang cuba mendalami ilmu agama misalnya moleknya diberi galakan dan doa. Yakinlah, perlahan-lahan hati kita juga pasti tercuit untuk ikut jejak langkah sama. Hanya masa yang mungkin menjadi perbezaan.

A post shared by ????? ???? ( ألف عزيز ) (@iamaliffaziz)

Kredit Foto: IG Aliff Aziz

Jadikan Mereka Sebagai Ikutan
Moga asbab penghijrahan mereka turut bangkitkan tempias agar kita mengikuti jejak langkah sama. Mungkin sekecil-kecilnya adalah dimulakan dengan memperbaiki kualiti solat fardu lima waktu. Cuba perlahan-lahan tunaikan kewajipan ini pada awal waktu. Dan disusuli dengan pelbagai amal lain.

Insya-Allah, ketika terlintas hati kita untuk berbuat baik, berubah pasti akan dipertemukan dengan 1001 keindahan disebaliknya. Akan ada sahaja lorong dan jalan dipermudahkan. Yang mungkin pada awalnya kita sangka satu kebetulan tetapi hakihatnya ia semua telah disusun dan ditentukan. Justeru sebaik-baiknya yang kita boleh lakukan adalah jangan pernah sekali putus berdoa untuk meraih cinta-Nya. Ikhtiarkan diri untuk mencari dan dekat pada-Nya. Moga kita juga bisa merasai manisnya hidayah dan anugerah pemberian-Nya.