gaya hidup
Perlu Ke CHECK Telefon Suami? Godam WhatsApp, Media Sosialnya? – Bukan Tak Percaya Cuma Tinjauan Biasa.
Kata kebanyakan isteri, kalau sudah jadi suami dan isteri tiada apa yang hendak dirahsiakan. Ini bukan soal percaya atau tidak, tetapi lebih kepada sikap ‘prihatin’, ulas beberapa teman yang mengamalkan langkah ini setiap hari. Telefon dan media sosiallah lapangan yang mencerminkan diri sebenar sang suami. Jadi, mengapa tidak digunakan sebaik mungkin.
Celah seorang mak saudara saya, dia berbuat demikian sekadar suka-suka. Bukan bermakna mencurigai suami sendiri tetapi untuk ambil tahu perkembangan suami juga. Suaminya sejenis pendiam dan jarang mahu berkongsi apa-apa cerita. Jadi, dengan menilik telefon suami, dapatlah juga dia mengenali suami dengan lebih dekat. Itu alasannya pula.
Kredit Foto: Google
Kalau Tak Buat Salah, Buat Apa Nak Takut!
Begitu kata seorang lagi kawan sepejabat saya yang memang tegas bab-bab rumah tangga ini. Ceritanya, boleh dikatakan setiap hari sebelum tidur, dia akan memeriksa telefon suami, segala nombor panggilan, mesej dan WhatsApp yang masuk, apa ‘update’ terkini di akaun media sosialnya, semua dipunggahnya habis-habisan.
Tambahnya lagi, kalau tidak dapat berbuat demikian, dia akan resah sepanjang malam. Tanya saya cuba menguji, kalau suami out station bagaimana? Jawab beliau, “Reda jelah. Tunggu dia balik nanti, telefonlah benda pertama yang akan aku terkam dulu! Hahaha...” Mujurlah suaminya jenis yang tidak kisah dan merelakan saja telefonnya digodam.
Kredit Foto: Google
Kalau Nak Buat, Dia Buat Juga
Berbeza pula dengan kawan sekolah saya yang seorang ini. Apabila ditanya soalan yang sama, katanya dia tidak pernah sekali pun memeriksa telefon suami dari mula mereka berkahwin lagi. Bukan suami garang tidak membenarkan tetapi dia sendiri mengambil sikap untuk tidak memeningkan kepala.
“Bagi aku senang je, kalau dia nak jahat, dia jahat juga walaupun kau berkepit dengan dia 24 jam, walaupun kau pegang handphone dia kat rumah. Lelaki ni lagi panjang akal dia kalau nak memutar belit. Jadi, buat apa nak buat benda yang sia-sia lagi memenatkan otak?” Luahnya jujur.
Tambahnya lagi, mereka masing-masing menghormati privacy bersama. Walaupun tidur sekatil, makan sepinggan, namun ada sesetengah perkara biarlah diberi kebebasan untuk menjadi diri sendiri. Apa yang penting hati sendiri dan kekuatan cinta yang sudah dibina dengan ikatan nikah.
Kredit Foto: Google
Ya, sama ada kamu sejenis isteri yang suka menyelidik telefon suami atau tidak, bergantung pada keperluan dan situasi kehidupan masing-masing. Lain orang, lain jalan yang dilalui. Ada orang hanya mampu menjamin kepuasan diri dengan dapat meneroka sendiri privacy suami seperti telefonnya.
Ada isteri yang lebih suka bersikap berlapang dada dengan memberi kebebasan kepada suami untuk menjelajah ruang peribadi dan sosialnya dengan kepercayaan yang diberi. Apa pun alasannya, tepuk dada tanyalah pasangan. Jika kedua-dua pasangan okey dengan rentak itu, teruskanlah. Lain rumahtangga, lain caranya. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga ya.
Must-Watch Video