Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita ‘dihidangkan’ dengan pelbagai kisah masyarakat di media sosial yang terkesan kerana musibah ini. Susah-payah mereka yang terpaksa mengharungi cabaran dan ujian benar-benar menjentik hati, mengundang sebak dan menerbitkan keinsafan serta kesyukuran dalam sanubari. Hinggakan mungkin kita tidak menyangka, begitu sekali Allah menduga mereka. Bahkan mungkin juga kita terkejut kerana ada daripadanya berlaku disekeliling kita, berhampiran rumah kita atau mungkin mereka adalah sanak saudara kita. Sehabis daya dan upaya mereka cuba menyembunyikannya tetapi dapat dihidu masyarakat yang terus prihatin untuk membantu.


Kisah Makan Nasi Dengan Gula
Lokasi: Pasir Gudang, Johor

Jika sebelum ini Rosli A Aliudins bekerja dengan menawarkan perkhidmatan pendawaian berbekalkan anggaran gaji bulanan RM800, namun sepanjang PKP dia tidak dapat meneruskan kerja yang selama ini menjadi mata pencarian keluarga. Lebih sukar lagi, dia bekerja sebagai pekerja kontrak dan tidak mempunyai surat rasmi yang membolehkannya terus bekerja seperti biasa. Atas keprihatinan masyarakat setempat, mereka menerima sumbangan beras dan gula. Syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan dan jawatankuasa penduduk flat Taman Cendana yang sudi menghulurkan bantuan. Dan pemberian tersebut dicatu penggunaannya. Ada hari dibuat bubur dan hanya makan nasi ‘berlaukkan’ gula. Tidak lama selepas tular kisahnya, pihak Econsave tampil menyumbangkan barang keperluan seperti makanan untuk keluarga tiga beranak ini. Terima kasih Econsave!



Kelindan Lori Tebalkan Muka Minta Tolong Bayarkan Makan
Lokasi: Cheras, Kuala Lumpur
Kredit Foto: Facebook Zarul Zabidi


Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak pernah sepanjang hidupnya meminta dengan orang, namun disebabkan kelaparan dan tiada duit untuk menjamah apa jua makanan, dia terpaksa menebalkan muka. Menurut perkongsian Zarul Zabidi di Facebook, dia mulanya mahu membayar makanan dan meminta kelindan tersebut memilih apa yang mahu dimakan. Tetapi pemuda itu hanya mengambil kuih seri muka dua ketul dan sebungkus milo ais. Terikat dengan kerja yang dibayar gaji mengikut hari, terbukti waktu PKP benar-benar menguji pemuda ini. “Saya kerja kelindan lori. Gaji ikut trip (perjalanan). Ada trip ada gaji bang,” hurai pemuda ini seperti yang dikongsi Zarul Zabidi dalam muat naik di Facebook. Syukur masih ada lagi rakyat kita yang prihatin dan punya sifat belas kasihan terhadap insan lain. Semoga apa yang dilakukan Zarul Zabidi menjadi contoh dan ikutan masyarakat dan moga diluaskan rezekinya untuk terus membantu mereka yang memerlukan.


Ayah Kayuh Basikal Anak Minta Sumbangan
Lokasi: Sandakan, Sabah
Kredit Foto: Facebook Abam Botak


Tular di media sosial apabila kelibat seorang bapa mengejar sebuah van untuk meminta sumbangan makanan. Dengan keadaan termengah-mengah, kata bapa ini sudah tiada apa lagi untuk diberi makan kepada anak-anak dan isteri. Raut wajahnya penuh berharap agar ada sedikit sumbangan untuk dibawa pulang. Dan van berikut menyediakan khidmat mengedarkan bantuan makanan kepada yang memerlukan sekitar Sundang darat, Sandakan. Ia adalah usahasama beberapa individu prihatin yang melakukan pelbagai kerja amal dan kebajikan khsususnya di Sandakan. Namun demikian, pemandu van tersebut tidak dapat memberikan makanan kerana bungkusan yang ada sudahpun ada pemiliknya. Dan jika diberi kepada bapa ini, bagaimana pula dengan nasib pemilik asalnya? Lantas ikthtiar Abam Botak memberikan nombor telefon dan rezeki bapa ini ada sumbangan berjaya diberi kepadanya. Allahu…Besar rahmatMu Ya Rabb yang terus melimpahkan rezeki kepada hambaMu yang kesempitan. Semoga segala usaha dan kerja amal Abam Botak dan rakan-rakan dipermudahkan.


Tidur Di Pondok Gara-gara Pemilik Rumah Arahkan Keluar
Lokasi: Baling, Kedah

Enam sekeluarga terpaksa berteduh di pondok yang baru dibina dalam kawasan kebun getah selepas pemilik rumah sewa tidak membenarkan mereka tinggal di situ. Ekoran tempoh PKP yang berkuatkuasa kini, Mohd Balhisham Abdul Latif tidak sempat mencari rumah sewa apabila pemilik memberi notis keluar rumah. Lantaran itu, dia terpaksa membina pondok di kawasan kebun getah berhampiran dan menjadi tempat berteduh mereka enam sekeluarga. Lebih memilukan, keadaan kesihatannya yang merosot membataskannya untuk bekerja dan terpaksa berhadapan dengan masalah membayar sewa bulanan RM200 sebelum ini. Apatah lagi terikat dengan tempoh PKP, keadaan tidak mengizinkannya mencari pekerjaan lain bagi menampung keperluan dan perbelanjaan harian. Kini hanya menerima sumbangan makanan daripada keluarga, jiran dan beberapa pihak yang sudi membantu.


Banyak lagi kisah masyarakat yang terkesan dengan tempoh PKP. Sungguh, tidak terjangkau akal kepayahan yang mereka alami. Berbeza dengan kita yang masih selesa duduk di hadapan televisyen. Dan itu pun masih lagi merungut kebosanan kerana terperap, tidak boleh keluar menjalani rutin seperti biasa. Tetapi mereka di luar sana? Resah dan bimbang memikirkan dari mana lagi boleh diusahakan untuk mencari makan. Agar ada sesuatu yang boleh disuap ke mulut anak. Bukan makan untuk mengenyangkan sebaliknya sekadar mengalas perut.


Kredit Foto: Google


Renunglah sejenak. Buka mata dan minda seluasnya. Seandainya kita berkira-kira mahu masa kapa lagi esoknya, ramai lagi di luar sana bercatu-catu makannya. Bahkan mungkin terpaksa berlapar kerana terputus bekalan makanan. Allahu Akbar… Oleh itu, bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Bagi yang masih peroleh gaji, beringatlah. Berjimat-cermatlah sebolehnya. Kepada mereka yang berkemampuan, hulurkanlah bantuan dan sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Sumbangan kalian mungkin kecil nilainya tetapi pada mereka, ia amat besar harganya. Teruskan berdoa, berikhtiar untuk membantu kerana saat kita menghulurkan tangan meringankan beban orang lain, nescaya Allah akan bantu permudahkan urusan kita kelak.