gaya hidup

Proses DITIDURKAN Bukan Pilihan Tapi Ia Antara Hidup dan Mati – Kalau Dibiarkan, Anda Tak Mampu Tanggung Sakit

gempak
Afiza Kamarulzaman
26/08/2021
05:11 MYT
Sponsor Banner
Proses DITIDURKAN Bukan Pilihan Tapi Ia Antara Hidup dan Mati – Kalau Dibiarkan, Anda Tak Mampu Tanggung Sakit
Dalam perkongsian sebuah video di media sosial, Dr. Fradzi menerangkan secara ringkas apakah maksud ditidurkan dan mengapa ia dilakukan oleh para doktor perubatan sebagai langkah terakhir menyelamatkan nyawa pesakit?
Dalam keadaan virus Covid-19 semakin mengganas sekarang, perkataan ‘ditidurkan’ hari ini menjadi satu terma yang sangat menggerunkan sesiapa saja terutama buat ahli keluarga yang berdepan dengan orang tersayang yang terpaksa melalui fasa tersebut.
Menurut Dr. Fradzi, proses ditidurkan sudah dilakukan sebelum adanya wabak Covid-19 lagi dan ia dilakukan hampir setiap hari oleh kebanyakan doktor yang berdepan dengan pembedahan yang memerlukan mereka ditidurkan agar tidak berasa sakit.
“Maksud ditidurkan ini adalah satu keadaan apabila anda memerlukan oksigen yang sangat kuat. Terdapat dua komponen dalam proses ditidurkan iaitu sedation yakni anda diberikan bius dan intubation, di mana tiub dimasukan ke dalam paru-paru,” terang beliau.
Bolehkah Kita Mohon Untuk Tak Ditidurkan?
“Apabila bercakap tentang intubation ia terkait antara hidup dan mati. Apabila anda ‘diintubatekan’ bermakna anda perlu ‘ditidurkan’ dengan sedation. Ini dilakukan untuk mengelakkan adan berasa sakit. Proses memasukkan tiub ke dalam tekak itu sangat menyakitkan dan anda tidak mungkin mampu menanggungnya jika dibiarkan dalam keadaan sedar,” ujar beliau lagi.
Paras normal oksigen seseorang mestilah pada tahap 95% ke atas. Dalam keadaan susah bernafas, ia menurun ke paras bawah 95% dan waktu inilah anda memerlukan oksigen tambahan untuk membantu anda bernafas dengan baik tanpa tercungap-cungap.
Doktor akan cuba menambahkan oksigen mengikut beberapa peringkat dan proses dan akhir sekali setelah cubaan memberikan bantuan oksigen 100% pun tidak membantu, maka mereka tiada pilihan lain selain menidurkan anda.
“Di sinilah penyebabnya kenapa para doktor tiada pilihan? Sebenarnya ia bukan pilihan tetapi keputusan yang perlu dibuat antara hidup dan mati kerana waktu itu nyawa sudah berada di anak tekaka sahaja,” tambahnya.
Ditidurkan Bermakna Penamat Riwayat?
Kita sudah kerap mendengar perihal pesakit Covid-19 yang ditidurkan, kemudian tidak bangun-bangun lagi. Seperti yang dinyatakan awal tadi, proses ditidurkan berlaku bukan hanya kepada pesakit Covid-19.
“Ada dua kemungkinan untuk seseorang pesakit selepas ditidurkan, sama ada akan kembali bangun dan sembuh atau tidak dapat diselamatkan lagi, maka terus pergi selepas itu. Sudah menjadi prosedur biasa staf perubatan untuk membuat persediaan sebelum mereka ditidurkan dengan mengajar mereka mengucap, menghubungi keluarga terdekat dan sebagainya.”
Bagaimanapun, Dr. Fradzi menitipkan tiga perkara penting untuk pesakit yang ditidurkan. Yang pertama adalah doa daripada keluarganya, ke dua semangat pesakit itu sendiri untuk pulih dan ke tiga sistem imun dalam tubuh pesakit untuk bertindak dengan ubat-ubat yang diberi.
“Saya doakan kepada mereka yang sedang berdepan dengan situasi ini agar dipermudahkan semua urusan dan pesakit akan dapat kembali sembuh dan sihat semula,” akhirinya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live