gaya hidup
Ramai Pasrah Sambut AIDILADHA di Rumah Saja, Patuh SOP – Semoga Pengorbanan Kita Berhasil. Tahniah Malaysia!
Walaupun dilaporkan beberapa hari sebelum sambutan Aidiladha, tol lebuh raya agak sesak dengan pertambahan kenderaan menuju ke Pantai Timur, namun ia tidak melemahkan semangat kebanyakan rakyat Malaysia untuk kekal patuh SOP agar tidak merentas negeri dan duduk di rumah sepanjang PKP ini.
Ini dapat dilihat daripada peratusan umat Islam yang menyambut Aidiladha di tempat di mana mereka berada tanpa melakukan sebarang ziarah, apatah lagi untuk pulang ke kampung. Inilah pengorbanan terbesar rakyat Malaysia hari ini yang meneruskan semangat perjuangan untuk menang dalam melawan pandemik Covid-19.
Ya, ini tahun ke dua kita tidak dapat meraikan Hari Raya ini, kalau diikut hati memang sedih. Apa lagi buat mereka yang jauh di perantauan, tidak dapat bersama keluarga meraikan hari berbahagia. Walau bagaimanapun, bagai sudah ‘imun’, rata-rata kita meraikan dengan cara tersendiri.
Walau tidak menyambut tetamu di rumah, menu Raya seperti rendang, ketupat, lemang dan sebagainya tetap disediakan untuk keluarga kecil mereka. Untuk yang bujang atau tidak mahu bersusah-payah di dapur, hanya menempah melalui atas talian. Serta-merta hidangan sampai di depan pintu rumah.
Lebih menyentuh hati apabila ada sesetengah jiran atau sabahat-handai tidak melupakan mereka yang mungkin tiada menu di pagi Raya, sudi pula menghantarnya. Inilah amalan yang sangat dipuji untuk terus diamalkan walau kita berada di ibu kota yang semakin terhakis amalan kejiranannya.
Apa yang diharapkan kini, setelah berkorban hati dan perasaan, diharapkan usaha kita untuk sentiasa kekal di rumah, tidak pulang ke kampung atau melakukan aktiviti sosial akan berbuah hasilnya tidak lama lagi. Mari sama kita doa agar data kes positif Covid-19 akan berkurangan dan kita diberi kelonggaran untuk kembali menjalani rutin harian.
Must-Watch Video