Team Jejak Ebit Lew (JEL) bersama Misi Bantuan Banjir terus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dalam siri ke-tiga misi mereka tempoh hari yang disiarkan Astro Prima semalam. Ustaz Ebit Lew (UEL) dan team tiba di SMK agama Darul Naim Kuala Krau, Temerloh seawal pagi untuk memulakan misi.


“Banyak anggota keselamatan, pihak berkuasa, kerajaan, NGO, orang persendirian yang sudah datang membantu di sini dan kita hanya menambah apa yang perlu. Memang banyak keroasakan yang berlaku di sekolah ini dan kita bantu untuk membaiki peralatan yang rosak dan membersihkan kembali ruang di sini. Alhamdulillah, guru-guru dan bekas pelajar turut sama turun padang bergotong-royong,” Cerita UEL.


Menurut guru di situ, Shapura Mohd Yusof, air mulai naik pada 4 Januari dan sekolah mula ditenggelami air pada 5 hingga 8 Januari. Dan mereka memulakan sesi gotong-royong pada 9 haribulannya. Memadangkan keadaan ini pernah berlaku pada tahun 2014 sehingga memusnahkan hampir 90 peratus sekolah ini, maka tahun ini mereka sudah bersedia lebih awal.



Kredit Foto: Astro Prima


Orang Lain Kembali ke Rumah, Pak Cik Ini Termenung Sendiri


Jam 2 petang, team ke Kampung Chenor menaiki 10 bot menghantar barang keperluan asas dan singgah pula di Kampung Saga Tat, Pahang. Dikhabarkan ada sebuah keluarga yang masih terkandas di pusat bantuan walaupun sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.


Keluarga Mohd Yusof Mohamed hanya mampu melihat jiran dan kawan-kawan bersiap balik ke rumah kerana rumah mereka sudah musnah keseluruhannya akibat ditenggelami air. Semua peralatan rumah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Apa lagi yang boleh dikata, hanya meratap nasib melihat rumah dari luar.


“Malam itu juga, kami terus mencarikan rumah sewa baru untuk mereka sekeluarga dan kita bayarkan sewa terus. Insya-Allah selagi ada rezeki Pak Cik ini, kita akan tampung sewa bulanan rumah ini. Semua peralatan rumah juga telah kita sediakan. Semoga Pak Cik dan keluarga dapat meneruskan hidup dengan baik. Anak-anak belajar elok-elok,” Ujar UEL.


Hari ke dua, team JEL ke Pengkalan Kok Majid dan tiba di Teluk Renjuna, Tumpat untuk meneruskan misi bantuan. Mereka disambut di jeti dengan tangisan seorang lelaki kurang upaya, Roslan Ismail yang sangat teruja dapat bersua muka dengan UEL. Katanya dia sudah lama memasang impian untuk bertemu Ustaz dan ternyata hikmah banjir ini menemukan mereka.

Kredit Foto: Astro Prima



Remaja Maut Ketika Membantu Mangsa Banjir


Satu lokasi yang ingin benar dikunjungi UEL ketika singgah di Tumpat ialah rumah keluarga remaja yang dilaporkan lemas baru-baru ini akibat kepenatan membantu mangsa banjir beberapa hari itu. Team JEL disambut hiba oleh keluarga Allahyarham Muhammad Hakimin Mohd Rahim, 20.


Allahyarham diaporkan lemas akibat terjatuh pengsan kerana terlalu penat berhari-hari membantu mangsa banjir walau tanpa upah. Rata-rata penduduk kampung memuji sikap Allahyarham yang memang ringan tulang dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengira masa.


Menurut ayahnya, Mohd Rahim Md Yusof dan ibu Allahyarham, arwah seorang anak yang sangat rajin. Pantang terdengar orang dalam kesusahan memerlukan bantuan, arwah akan lekas-lekas datang membantu. Sehinggakan kalau sedang menceduk nasi, dan kawannya telefon memberitahu ada orang mahukan pertolongan, arwah sanggup letak semula nasi bawa tudung saji dan mendulukan bantuan kepada orang itu.


Begitulah sikap terpuji arwah yang sangat meninggalkan kesan kepada UEL. “Tidak mengapa abang, kakak. Insya-Allah, arwah meninggal muda dan dalam keadaan yang sangat baik, syurga tempatnya di sana. Dan nanti, arwah akan bantu abang kakak di sana. Cakap memang mudah, tapi inilah kenyataannya. Kita kena terima dengan reda..” Nasihat UEL memberi kata-kata semangat.


Sebelum pulang, UEL dan team sempat menyediakan barang-barang pembinaan rumah dan membayar upah untuk membaik pulih rumah arwah kerana menurut ibunya, arwah memang bercita-cita untuk menyediakan rumah yang lebih baik buat keluarganya. Rumah yang didiami ibu dan ayah arwah memang agak uzur, tiada bilik dan bilik air di luar.


Menunaikan hajat arwah, UEL berbesar hati untuk meneruskan niat murni Allahyarham dan semoga usaha ini memberikan keselesaan dan mengembalikan kebahagiaan buat keluarga arwah.



Kredit Foto: Astro Prima