Penulis faham dan dapat merasainya. Tentang bagaimana hancur luluhnya, remuk redamnya hati dek rentas negeri tidak dibenarkan sekali lagi untuk menyambut Aidilfitri tahun ini. Dan kebetulan pula kita meraikan hari ibu hari ini, pastinya kerinduan itu lebih terasa buat anak-anak yang tinggal di perantauan.

Kredit Foto: Google

Mungkin bagi sesetengah orang sambutan hari ibu tidaklah penting atau tak memberi apa-apa makna. Umpamanya, kalau tak disambut pun tak apa. Tetapi demi mempamerkan kasih sayang, penghargaan buat susuk paling penting dalam mencorak hala tuju rumahtangga, tiada salahnya untuk sekadar menghadiahkan jambangan bunga atau mengirimkan hadiah sebagai tanda mata. Selagi insan bergelar emak itu boleh dipanggil, kudratnya masih tersisa, tiada salahnya untuk menghargainya. Kerana kita sedia maklum, berilah apa hadiah sekalipun, semahal mana harga dan wang ringgit yang kita laburkan itu takkan pernah sama nilainya dengan apa yang telah dikorbankan seorang insan bergelar ibu, emak, mama, mummy, umi dan apa jua panggilan sebagai pengganti diri.

Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan seorang ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu lebih dari seorang bapa. Hadis daripada Mu’awiyah bin Haidah Al-Qusyairi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik? Rasulullah s.a.w menjawab: ibu Mu kemudian aku bertanya lagi siapa ? Rasulullah s.a.w: Ibu Mu kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah s.a.w menjawab ibu Mu kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah s.a.w menjawab bapa Mu kemudian orang yang paling hampir dengan mu dan seterusnya” (Riwayat At-Tirmidzi)

Kredit Foto: Google

Menurut maksud hadis tersebut pengulangan lafaz ‘ibuMu’ menunjukkan tentang ketinggian martabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat dan tanggung jawab seorang ayah. Pengorbanan seorang ibu adalah lebih besar bermula daripada peringkat kehamilan , seterusnya proses kelahiran , kemudian proses membesar memerlukan satu tahap kesabaran dan kecekalan yang tinggi.

‘Call, Video Call’ Pengganti Diri
Memang takkan pernah sama vibes dan perasaannya ketika hanya mampu mendengar suara, melihat wajah di skrin telefon bimbit berbanding dengan bertentang empat mata, bersemuka, pelukan mesra, gurau senda dan segalanya. Ya, semua itu kita mahu lakukan semata-mata mempamerkan rasa kasih, cinta dan hormat kita kepada mereka. Tetapi dek kerana pandemik ini, semua itu terbatas. Sungguh, tidak puas rasanya walau hanya mengucap selamat hari ibu di hujung talian tanpa diiringi dengan bersalaman, mencium tangan dan pipi serta dahinya yang kian berkedut dek dimamah usia, merangkul erat lagi kemas tubuhnya seperti kebiasaan yang kita lakukan.

Kredit Foto: Google

Apatah lagi memikirkan entah kan berpeluang atau tidak meraikan hari ibu dan 1 Syawal bersamanya pada tahun akan datang, pasti menusuk rasa. Siapa yang Allah takdirkan ‘pergi’ terlebih dahulu, adakah kita atau dia? Dan persoalan itu terus-terusan bermain dikepala. Waima apa yang sedang berlaku, anggaplah ini sebagai jihad kecil kita demi memastikan keselamatan dan nyawanya juga kita terlindung dan terpelihara. Manfaatkan malam-malam terakhir Ramadan ini dengan bermunajat, doa seikhlasnya agar para ibu kita walau di mana mereka berada akan terus dilindungi dan dirahmati-Nya. Kerana pastinya kebergantungan kita kepada Sang Pencipta diletakkan pada tingkat tertinggi dalam sela-sela waktu ini.

Buat anak-anak yang tinggal berdekatan dengan ibu, beruntunglah kalian yang masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada ibu. Dapat melihat wajahnya pun Allah sudah catatkan pahala buat kita. Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan.” (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan “Melihat Ka’abah”. (Riwayat Abu Daud). Mudahnya Allah memberikan ganjaran pahala kepada makhluknya.

Justeru berbaktilah, bahagiakanlah dia sementara Allah masih pinjamkannya buat kita. Selagi ada masa, ikhtiarkan sehabis baik untuk menjadi anak yang bukan sahaja menyenangkan ibu malah mampu menjadi anak soleh dan solehah yang dijamin syurga andai kelak dia sudah tiada. Selamat hari ibu emak, Hjh Khatijah Mat Rashid dan emak mentua Hjh Ainon Mohamed. Kalianlah anugerah terindah pinjaman Allah yang tiada tolok bandingnya.