Umum mengetahui setiap hujung minggu dalam minggu kedua bulan Mei sambutan Hari Ibu diraikan seluruh Malaysia. Ia disifatkan sebagai simbolik menghargai pengorbanan dan jasa ibu yang menjadi tulang belakang dalam sesebuah keluarga. Malah menjadi kelaziman bagi orang ramai untuk meraikan hari ibu dengan pelbagai cara. Ada yang mengirimkan jambangan bunga, pergi bercuti, keluar makan seisi keluarga dan lain-lain.


Kredit Foto: Huda Hussain

Hari Ibu Daripada Perspektif Islam

Suka saya memetik ulasan oleh Dato Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu kenyataan. Bahawa belia tidak menganggap bahawa merayakan Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai perkara yang tidak dibolehkan. Tetapi hendaklah dengan menepati beberapa syarat. Antaranya:
  1. Menganggap Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai penghormatan tambahan buat mereka, bukannya menyempitkan skop menghormati mereka hanya pada tarikh tersebut.
  2. Tidak menjadikan ia sebagai satu bentuk perayaan dengan erti kata perayaan keagamaan, tetapi sebagai sambutan secara adat sahaja.
  3. Sewajarnya seorang Islam sentiasa menghormati ibu bapa dan pada masa sama memahami ajaran Islam supaya ketaatannya sentiasa selaras dengan syariat Islam

Sumber: Facebook Bahagian Dakwah JAKIM


Kredit Foto: Huda Hussain

Walaupun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun terdapat ayat yang menekankan perlunya umat Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud:

"Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah S.A.W: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu".

Islam meletakkan ibu ditempat yang paling selayaknya, begitu juga dengan bapa. Jika syurga ibu/isteri di bawah kaki ayah/suami, tetapi dengan keinsafan yang lebih menebal, tanpa ibu, siapalah kita… ‘Syurga anak itu adalah di bawah tapak kaki Ibu’.
Seorang ibu berhak mengambil haknya terhadap anak-anaknya dan seseorang anak itu tidak boleh langsung mempertikaikan hak ibu dan bapa mereka terhadap dirinya. Jihad adalah perkara paling utama dalam Islam, namun kerana ibu, jihad menjadi tempat kedua bagi seorang anak.
Perkara ini dikatakan sendiri oleh Rasulullah ketika ada seorang sahabat yang bernama Jahimah bertemu baginda untuk bertanyakan pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya, “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda, “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104)

Sambutan Hari Ibu yang memenuhi tuntutan Islam antaranya, sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah SWT dan tidak bersifat membazir. Di samping itu, sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan solat berjemaah bersama ahli keluarga, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana mahabbah.

Oleh itu, penting bagi masyarakat Islam membetulkan niat terlebih dulu dalam meraikan sambutan Hari Ibu ini supaya sambutan dirahmati dan tidak terkeluar daripada landasan syariat Islam yang digariskan Allah SWT untuk hambaNya.

Kedudukan ibu sangat mulia di sisi Islam. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh ibu demi membesarkan kita. Sepatutnya disambut hari ibu sekerap mungkin… setiap hari, minggu, setiap bulan dan tahun kerana hari ibu memang sewajibnya setiap hari… Raikanlah dengan setulus ikhlas terhadap insan mulia tersebut…

Sumber: facebook.com/UstazIqbalZain
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman

Dan beruntunglah bagi yang masih dipinjamkan ibu untuk menuai pahala berlipat kali ganda. Bagi mereka yang sudah kehilangan syurga dunia ini, doa kami semoga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayang ke atas roh mereka serta ditempatkan bersama golongan yang beriman. Sungguh, rindu pada insan teristimewa ini tiada penghujung. Al-Fatihah...