Highlights

Yang Jauh Sudah Pun Merentas Negeri Bersua Wajah, Yang Dekat Jenguk Pun Tidak – Jauhkan Sengketa Sesama Saudara.

gempak
Afiza Kamarulzaman
14/06/2020
14:20 MYT
Sponsor Banner
Yang Jauh Sudah Pun Merentas Negeri Bersua Wajah, Yang Dekat Jenguk Pun Tidak – Jauhkan Sengketa Sesama Saudara.
Ketika larangan merentas negeri diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh PKP yang lalu, ramai antara kita yang berduka lara. Faktor utama adalah kerana tidak dapat menjenguk ibu ayah dan keluarga berbulan-bulan lamanya. Ramai yang terkesan dek kerinduan pada kampung halaman dan sudah lama tidak dapat berkumpul bersama sanak-saudara. Apatah lagi ia berterusan pula ketika bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Maka, bersedihlah banyak hati apabila terpasak menyambut hari penuh berbahagia itu sendirian di perantauan. Manakala, ibu dan ayah dan keluarga di kampung juga merindui mereka tersayang yang berada jauh di mata. Kita faham andai jarak jauh memisahkan pertemuan, namun bagi yang dekat dan masih boleh merentas kawasan untuk bertemu, kenapa bertindak sebaliknya?
Kredit Foto: Google
Anak Yang Jauh Sudah Tiba, Yang Dekat Tak Nampak Bayang
Aminah menceritakan kisah sedih yang berlaku dalam keluarganya yang terdiri daripada dua abang dan dua kakak, manakala dia anak bongsu kepada mak dan ayah yang sudah tua berusia sekitar 70 tahun. Sudah hampir tiga tahun mereka sekeluarga tidak dapat berkumpul lengkap satu keluarga. Potret Raya keluarga tidak lagi penuh kedudukannya setiap tahun. Tidak seperti tiga tahun sebelumnya apabila susunan adik-beradik mereka lengkap mengelilingi mak ayah.
Sengketa bermula apabila abang yang sulung bertelagah dengan abang nombor dua membabitkan hal kebajikan mak ayah. Kakak nombor tiga masuk campur dan berlakulah perbalahan antara mereka. Dek banyak kata-kata kasar dilemparkan maka berpecah-belahlah kesemuanya. Masing-masing ego dan tidak mahu mengalah. Tidak diduga adik-beradik yang dulunya akrab bak belangkas kini renggang bagai ada tembok pemisah kukuh di tengahnya.
Kredit Foto: Google
Kesemua abang dan kakak Aminah tinggal berlainan negeri kecuali abang nombor dua, yang tinggal hanya beberapa kilometer dari rumah mak dan ayah di kampung itu. Namun, sejak berlaku perbalahan itu, abang nombor dua itu tidak lagi mahu menjenguk rumah mereka. Sesekali sahaja abang akan datang singgah tapi itu pun selepas memastikan adik-beradik lain tiada di rumah.
Dan, sejak PKP berlangsung abang nombor dua itu langsung tidak muncul, bertanya khabar pun tidak. Mujur Aminah belum berkahwin dan tinggal dengan mak ayah, ada juga orang menjagakan mereka. Besar harapan mak ayah ketika Perdana Menteri mengumumkan kebenaran merentas negeri untuk melihat anak-anaknya berkumpul kembali. Kata Ayah, abang nombor dua itu pasti akan balik nanti.
Pada hari yang dibenarkan merentas negeri tiba, abang sulung dan kakak-kakak yang masing-masing tinggal di Kuala Lumpur, Melaka dan Perlis sudah pun tiba di rumah mak ayah di Kedah. Berjam-jam perjalanan dan mereka tiba dengan selamatnya bersama pasangan dan anak-anak. Bukan main seronok hati mak dan ayah akhirnya dapat bertemu anak-anak yang dirindui. Namun, seketika kemudian mereka terpalit sedih mengenangkan anak yang dekat langsung tak muncul walaupun selepas adik-beradik semua balik semula ke negeri masing-masing. Punah lagi harapan mak ayah mahu melihat anak-anak berkumpul semuanya.
Kredit Foto: Google
Usia Kita Bukannya Panjang, Jangan Diturut Hasutan Dendam
Inilah hakikatnya bahawa kita tidak dapat menentukan jangka hayat kita di dunia ini. Ada kakak sedih apabila adiknya meninggal dunia saat mereka masih belum bermaafan. Ada anak menyesal seumur hidup apabila tidak sempat menjeguk Ibu yang ditinggalkan bertahun-tahun akhirnya pergi menyahut seruan Illahi. Dan, siapalah kita untuk menjangkakan – ‘tidak mengapa, esok masih ada.”
Kemaafan seharusnya dihulurkan setiap hari kepada sesiapa sahaja kerana kita tidak tahu adakah esok itu masih ada untuk kita atau orang yang kita musuhi itu? Kita pasti tidak mahu menyesal seumur hidup apabila tidak dapat memulihkan hubungan rentak bersama orang yang pernah ada kenangannya bersama kita satu masa dulu. Apatah lagi kenangan itu sesama keluarga, adik-beradik dan insan-insan yang punya darah daging dengan kita.
Kredit Foto: Google
Buruknya Akhlak Memutuskan Silaturahim
Rasulullah bersabda yang maksudnya; Bukanlah orang yang menyambung (silaturahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”
Dan Allah swt berfirman; Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”.
(Surah al-Nisaa’:1)
Maka, belum terlambat di waktu ini untuk kembali jernihkan hubungan silaturahim yang keruh. Bermaaf-maafanlah sesama kita agar hubungan yang rengang kembali terjalin. Manisnya sebuah kemaafan dan terjalinnya kembali ikatan yang putus dek dendam dan keegoaan. Dengan pautan kasih-sayang itu, raikanlah kemenangan kamu menewaskan syaitan yang pasti menangis sedih kerana tidak dapat lagi menghasut kamu untuk terus berada dalam dosa permusuhan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live