Personaliti

“Yang Orang Nampak Kejayaan Saya Jual 10k Botol Sambal Tapi 4 Tahun Saya Gagal, Duit Lebur” – KHAIRULAMING.

gempak
Afiza Kamarulzaman
08/02/2021
10:40 MYT
Sponsor Banner
“Yang Orang Nampak Kejayaan Saya Jual 10k Botol Sambal Tapi 4 Tahun Saya Gagal, Duit Lebur” – KHAIRULAMING.
Penulis pun baru-baru ini mengikut rapat akaun Instagramnya kerana tertarik dengan kata-kata orang yang memuji kebijaksanaan beliau dalam meraih pengaruh di media sosial dengan hanya ‘content’ masakan. Wow! Beliau bukanlah chef lima bintang, apa lagi seorang selebriti, namun namanya tular melebihi artis yang bertahun-tahun keluar televisyen!
Khairul Amin Kamarulzaman atau dikenali dengan nama Instagramnya, Khairulaming antara bintang media sosial yang berjaya. Penulis suka, kerana beliau berjaya dengan contents yang bermanfaat dan bukan bersifat ‘sampah’. Ini yang harus dijadikan contoh kepada anak muda yang mungkin sedang gian menempa nama secara alam maya.
Baru-baru ini beliau berkongsi kejayaan dan pengalaman berniaga beliau di Twitternya. Rupa-rupanya, beliau tidaklah meraih semua ini dengan jalan mudah kerana beliau juga seperti kebanyakan usahawan tulen lainnya, pernah mendepani pengalaman pahit kejatuhan sebagai orang berniaga.
Mula Menyambal Pada 2007
Rupa-rupanya, beliau sudah mula berkecimpung dalam penjualan sambal ini pada tahun 2007 di akaun Facebooknya. Malangnya, tidak laku dan beliau kerugian berpuluh ribu ringgit duit simpanannya dan terpaksa memberhentikan pekerja-pekerjanya. Namun, janjinya kepada kakak, beliau akan berusaha untuk mengembalikan jenamanya itu satu hari nanti. “Bagi aku empat tahun!” Ujarnya.
Dan, selepas kegagalan itu, beliau mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membangunkan produk sambal yang diberi nama Sambal King itu. “Setiap hari aku balik dari ofis, aku akan ke supermarket untuk beli cili. Balik rumah, aku cuba dan masak. Selepas dah dapat resepi yang tepat, aku cuba untuk jual 200 botol yang pertama di Facebook,” Ceritanya.
Syukurlah, video promosi itu tular dan beliau berjaya menjual kesemua 200 botol sambal tersebut. Malangnya, sambal yang dipek di dalam botol plastik itu kesemuanya pecah apabila sampai ke tangan pembeli dan Khairul terpaksa membayar semula semua ganti rugi. “Waktu itu aku tak tahu cara untuk preserve sambal itu. Memang aku kemurungan teruk sebab kecewakan pelanggan,” Ujarnya lagi.
Belajar Dari Kesilapan, Bangun Sekali Lagi
Selepas kesilapan pembungkusan itu, beliau tidak mengalah. Beliau belajar pula pembungkusan menggunakan botol kaca. Alhamdulillah, ia tahan lebih lama dan disebabkan video sambal itu masih tular, ia mampu menjual beribu botol sambal barunya itu.
Hari demi hari permintaan semakin tinggi dan beliau terus bertindak membuka production center. “Aku hired team, keluarkan semua duit simpanan, beli perkakas dan pelbagai lagi. Sekali lagi diuji, beberapa minggu selepas itu, Facebook pula tukar algorithm dan views video jatuh teruk. So bad! Tak ada siapa beli sambal aku, sedangkan waktu itu, duit simpanan dah habis dikeluarkan.”
Rasa amat teruk kali ini, beliau mahu mengalah. Katanya kepada kakak, dia mahu jual balik peti sejuk dan lain-lain, dia mahu lupakan perniagaan ini. Semua pekerja juga diberhentikan. Namun, kata kakaknya, dia mahu teruskan juga tetapi secara kecil-kecilan.
Empat Tahun Jatuh, Bangun, Tergolek dan Berlari
Pada 2018, Khairul mahu memulakan azam baru untuk buat personal branding. “Aku tebalkan muka untuk buat video memasak di Instagram dan mula tunjuk muka sendiri. Aku buat lawak-lawak cringe di video itu sampai aku rasa malu sangat. Tapi, apabila video itu viral, ramai mula suruh aku jual barang sementara nama tengah naik,” Katanya lagi.
Namun, menurut Khairul, beliau belum bersedia kerana sambalnya itu masih ada kekurangan, bau hangit masih tak hilang. Empat tahun kemudian, pada Januari 2021, barulah beliau bersedia dengan memperkenalkan sambal barunya yang diberi formula lebih baik dan berkualiti.
Selama empat tahun itu, Sambal King dijual secara kecil-kecilan, sebulan terjual 100 botol, dan kini ia dinaik tarafkan untuk memikat hati ramai pengikut setianya. Lihatlah bagaimana empat tahun itu mengajar dan membentuk Khairuaming untuk menjadi apa yang kita lihat sekarang.
Bukan perkara mudah, banyak perjuangan, air mata, kepayahan dan kesusahan yang kita tidak nampak sebelum ini. Katanya lagi untuk menjamin kualiti sambalnya yang kini diberi nama Sambal Nyet, beliau melakukan semua kerja produksi daripada mereka logo, video promo, memasak dan menjualnya.
Saya Mahu Menangis Apabila 10,000 Botol Terjual
Pada ketika Sambal Nyet berjaya terjual sebanyak 10,000 botol dalam masa tidak sampai satu jam di aplikasi Shopee, Khairul tidak tahu apa yang hendak dikatakan, hanya mahu menangis waktu itu. Daripada kerugian puluhan ribu ringgit kini mampu tersenyum dengan keuntungan yang dimiliki.
Daripada tidak tahu cara pemasaran kini antara usahawan berpengaruh di media sosial yang buat apa pun pasti viral! Sentuhannya jarang mengecewakan pengikutnya. Dan, yang manisnya lagi, apabila sambalnya kembali mendapat sambutan, beliau terus memanggil semula pekerja-pekerja lamanya untuk kembali bersama.
“Ada juga yang tanya kenapa tak nak expand cepat-cepat Sambal Nyet ni ketika ia sedang sold out laju? Alasan aku ialah, aku pernah gagal dulu sebab terlalu laju nak expand dan kini aku belajar untuk menaiki satu langkah dalam haya satu waktu,” Luahnya jujur.
Beliau berharap dengan penjelasan itu dapat memberi jawapan kepada banyak pihak yang tertanya-tanya asal usul Sambal Nyet ini. Ia bukanlah sambal yang diambil dari mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah hasil yang dituai daripada empat tahun pengalaman, air mata dan kejatuhan yang dilalui oleh Khairulaming. Tahniah!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live