Skip to main content

Jalani Uji Bakat & Terima Layanan Istimewa, Ini 6 Fakta Menarik Tentang 'Mojo' Dalam Mojoku Hilang

Jalani Uji Bakat & Terima Layanan Istimewa, Ini 6 Fakta Menarik Tentang 'Mojo' Dalam Mojoku Hilang

Sekilas

  • Mojo, seekor lembu dengan sifat tenang dan mata ekspresif, dipilih selepas berbulan-bulan pencarian dari ratusan lembu di seluruh Malaysia untuk filem Mojoku Hilang.
  • Selain Mojo, lebih 20 ekor lembu lain turut berada di lokasi penggambaran, dengan Mojo menerima layanan istimewa termasuk dimandikan dua kali sehari dan diberi makanan kegemaran seperti pisang.
  • Filem Mojoku Hilang arahan Min Lim akan ditayangkan di pawagam mulai 23 Julai, menampilkan Adipati Dolken dan pelakon lain dalam kisah seorang lelaki yang berusaha mendapatkan kembali lembunya yang diculik penduduk kampung.
Advertisement

Di sebalik lakonan para pelakon, seekor lembu bernama Mojo turut memainkan peranan penting dalam filem Mojoku Hilang. Walaupun hanya seekor haiwan, proses menjadikan Mojo sebagai 'bintang' filem bukanlah sesuatu yang mudah.

Daripada proses mencari lembu yang sesuai sehinggalah gelagat uniknya di lokasi penggambaran, berikut enam fakta menarik tentang Mojo yang mungkin ramai tidak tahu.

Advertisement

1. Berbulan-bulan cari Mojo yang sesuai

Bukan mudah mencari Mojo. Pihak produksi mengambil masa berbulan-bulan untuk mencari lembu yang sesuai dengan watak tersebut.

Ratusan ekor lembu dari ladang di seluruh Malaysia dinilai sebelum akhirnya mereka memilih Mojo. Sifatnya yang tenang dan matanya yang ekspresif membuatkan dia dipilih sebagai bintang utama filem ini.

2. Lebih 20 ekor lembu berada di lokasi

Selain Mojo, kira-kira 20 ekor lembu turut berada di lokasi penggambaran sebagai pelakon tambahan.

Sepanjang penggambaran, banyak kenangan manis tercipta termasuklah apabila tiga ekor lembu tiba-tiba terlepas dan kru terpaksa mengejarnya. Lama-kelamaan, kru juga mula mengenali perangai setiap lembu. Ada yang manja dan ada juga yang suka menerima snek daripada kru ketika waktu rehat.

3. Layanan seperti selebriti

Mojo menerima layanan yang cukup istimewa sepanjang penggambaran.

Dia dimandikan dua kali sehari oleh penjaganya, Omar, yang memastikan Mojo sentiasa bersih, kemas dan cukup makan.

Selain makanan utamanya, Mojo juga sangat suka makan pisang yang diberikan oleh kru. Setiap pagi, dia turut dibawa berjalan-jalan sebelum memulakan penggambaran.

4. Tabiat unik ketika makan pisang

Walaupun sangat menggemari pisang, Mojo mempunyai satu tabiat yang unik.

Dia tidak akan makan pisang yang sudah disentuh atau dijilat oleh haiwan lain. Lebih melucukan, Mojo juga tidak akan makan semula pisang yang pernah dijilatnya sendiri.

5. Babak pertama buat semua terkejut!

Pada hari pertama penggambaran, Mojo secara tiba-tiba membuang air kecil dan besar ketika menjalani babak di dapur.

Walaupun keadaan itu mengejutkan kru, mereka tidak menganggapnya sebagai masalah. Malah, kru produksi berbangsa India menganggap kejadian itu sebagai petanda baik dan membawa tuah kepada seluruh pasukan.

6. Muzik klasik bantu tenangkan Mojo

Bekerja dengan haiwan bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila pengendali haiwan terlatih di Malaysia masih tidak ramai.

Disebabkan itu, proses merakam babak bersama Mojo mengambil masa lebih lama. Bagi memastikan Mojo sentiasa tenang, kru turut memasang muzik klasik di antara setiap penggambaran kerana percaya ia dapat membantu menenangkan lembu.

Mojoku Hilang mengisahkan Adi, lakonan Adipati Dolken, yang menyamar sebagai orang kampung untuk mendapatkan semula Mojo, seekor lembu yang menjadi rebutan selepas penduduk kampung bertindak 'menculiknya' bagi menghalang pengambilalihan tanah oleh sebuah syarikat.

Namun, misinya berubah apabila dia jatuh hati kepada seorang gadis tempatan yang paling lantang menentang syarikatnya sendiri.

Filem arahan Min Lim itu turut dibintangi Adipati Dolken, Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Aziz M. Osman, Namron serta ramai lagi.

Mojoku Hilang merupakan terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan Argo Films, dan bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 Julai.



 

Anda mungkin berminat dengan

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

Arai Quantic Dark Citizen

Arai Quantic Dark Citizen

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

Nike Fly Unstructured Denim Adjustable Cap - College Navy [IB2345-419]

Nike Fly Unstructured Denim Adjustable Cap - College Navy [IB2345-419]

Must Watch Video

Advertisement