PMTepiKakGee
#PMTepiKakGee; Suami Bukan saja Gila Game, tapi Kemaruk Mengurat Pemain Game Wanita, Isteri Syak Suami Berlaku Curang
SOALAN
Assalamualaikum Kak Gee. Saya sekarang terasa sangat yang suami macam curang dengan saya. Sebenarnya ini bukan kali pertama, tapi sudah beberapa kali.
Kak Gee, kami sudah empat tahun berkahwin dan saya syak sewaktu tahun kedua perkahwinan lagi suami sudah curang. Untuk pengetahuan Kak Gee, suami saya seorang yang sangat gila bermain game. Jadi dia ada berkenalan dan mengurat kaki kaki game yang perempuan sewaktu bermain game PUBg.
Waktu itu kami sempat hampir bercerai sebab sikap dia yang makin teruk main game 20 jam sehari sampai tak balik rumah.
Namun selepas kami berbincang, hubungan rumah tangga kembali pulih setelah dia berjanji untuk berubah. Alhamdulillah dia memang berubah dan mula menyimpan duit untuk rumah tangga, bukan dihabiskan dengan bermain game.
Dugaan datang tiba tiba. Masuk tahun ketiga perkahwinan, saya disahkan hamil tapi luar rahim dan dia start semula main game, tapi kali ni Game LA (Life After ).
Kali ini sikapnya jadi agak teruk kerana kerap marah dan akan memaki saya hanya kerana mula tergilakan perempuan dalam game tersebut. Setiap kali saya menegurnya agar jangan memberi kata manis kepada mana mana perempuan yang bermain game, dia akan naik marah.
Tak hanya itu, saya sedar dia juga rapat dengan seorang pekerja perempuan yang masih belum berkahwin dan kerap memberi pinjam duit kepada suami saya.
Saya risau kak Gee kalau suami saya makin terus macam ni, saya sudah buat macam macam untuk dia. Saya tak mahu kami bergaduh lagi, cukuplah peristiwa dulu yang buat kami hampir berpisah. Jangan. Lah yang ini.
Apa patut saya buat Kak Gee? Saya sudah penat menangis dan sangat susah hati kerana kali memikirkan dua perempuan (ketua game) dan teman sepejabatnya yang cuba mendekati suami saya ini.
(PERHATIAN: Artikel ini sudah diedit dari segi gaya bahasa dan diringkaskan dengan tidak melarikan maksud yang cuba disampaikan oleh tuan punya badan.
Yang Benar,
Siti
JAWAPAN
Waalaikumusalam Siti, Kak Gee harap Siti sihat. Maaf kerana Kak Gee perlu memendekkan luahan Siti tentang masalah yang sedang dihadapi.
Tahniah kerana walaupu hampir bercerai, namun sehingga kini anda masih mempertahankan rumah tangga dan cuba memperbaiki hidup berkongsi dengan suami anda.
Siti, alam rumah tangga adalah alam yang paling tidak mudah untuk dijalani oleh sesiapapun. Kak Gee percaya, semua pasangan yang berumah tangga ada masalah masing masing, cuma bagaimana mereka menghadapi dan menyelesaikannya, itulah yang menyelamatkan hubungan mereka.
Untuk kes Siti, pertama Siti kena tahu dan sedar, bukan suami anda saja, tapi memang kebanyakan kaum lelaki adalah pecinta game dan sanggup tak balik rumah atau menipu pasangan hanya untuk bermain game, hobi utama mereka.
Tapi bila suami mula menghabiskan duit dan tahap memaki anda jika ditegur hanya kerana bermain game, ia bukanlah satu perlakuan yang baik. Apa lagi menurut Siti, anda syak suami curang dengan pemain game perempuan. Jadi Kak Gee faham sangat rasa susah hati yang Siti alami.
Cuma mungkin walaupun Siti tidak minat game, apa kata cuba ambil tahu tentang game atau hobi suami ini sebagai permulaan untuk menarik perhatian dia. Buktikan kepada dia, walaupun anda bukan pemain game, anda juga tahu perkembangan. Katakan kepadanya, apapun hobi yang suami lakukan, anda sokong, tetapi perlulah ada batasnya. Mungkin Siti boleh membuat perjanjian dengannya setelah berbincang secara elok.
Bab mengurat perempuan atau ada perempuan yang cuba rapat dengan suami anda pula, Kak Gee harap Siti selidik dengan baik dahulu. Kemudian, jika sudah sahih, barulah memulakan langkah dengan berbincang bersama suami. Beritahu apa yang terbuku di hati anda.
Ingat, tanpa perbincangan, tidak ada masalah boleh selesai dengan baik kerana jika masing masing ego ataupun hanya saling syak wasangka, ia tak akan ke mana.
Jadi berbincang dan nasihati suami. Sedarkan sedikit dirinya bahawa anda tidak pernah mengongkong dia, apa lagi untuk mengesyaki hal yang bukan bukan, hanya naluri seorang isteri selalunya benar.
Minta dia perbetulkan semula keadaan dan menjadi lebih bertanggungjawab.
Selebihnya, jangan tinggal solat dan jangan lelah berdoa kepada Allah SWT untuk terus bersama anda dan menjaga rumah tangga anda.
Kak Gee doakan supaya anda memperoleh rumah tangga yang bahagia selepas ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Itu kisah Siti, bagaimana pula dengan kisah seorang ustaz yang berperang dengan kisah lampau?
Jangan lupa saksikan Ada Apa Dengan Dosa yang mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah.
Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.
Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 4 Jun ini.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video