Hiburan
7 Tahun Bersama, Nora Danish Sah Bercerai Dengan Nedim Nazri - “Harap Tiada Teori Tentang Perpisahan Kami”
Rumah tangga pelakon Nora Danish dengan Nedim Nazri yang dibina sejak tujuh tahun lalu sudah berakhir dengan perceraian.
Bersetuju Cerai Cara Baik
Menerusi video temu bual di Instagram ABPBH, Nora dan bekas suaminya bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Mahu anak-anak hidup dalam keadaan tenang dan positif, Nora turut memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian mengenai keputusan mereka untuk berpisah.
“Saya harap semua boleh hormati jawapan yang saya boleh kongsikan iaitu saya dan bekas suami saya, telah dapat persetujuan bersama untuk mengakhiri hubungan kami setelah tujuh tahun… telah berakhir di sini.
“Yang paling penting, tujuan kami, hanya mahu bersama-sama membesarkan anak-anak dengan kasih sayang dan positif. Harap sangat pada anda semua mendoakan baik-baik buat kami sekeluarga.
“Harap juga tiada teori-teori tentang perpisahan kami, sebab saya amat pentingkan keharmonian kedua-dua keluarga, keluarga saya dan Nedim, terutama anak-anak kami, sebab nak besarkan mereka dalam keadaan positif,” katanya.
Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam tadi.
Terdahulu, Nora mengesahkan perkahwinannya dengan Nedim dibina sejak 2017 sedang bergolak.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15 sebelum bercerai pada 2008.