Hiburan

Abang Adik Cipta Sejarah, Filem Bahasa Cina Pertama Terima Pengiktirafan ASEAN Records

Gempak
11/02/2025
04:56 MYT
Sponsor Banner
Abang Adik Cipta Sejarah, Filem Bahasa Cina Pertama Terima Pengiktirafan ASEAN Records
Filem Abang Adik mencipta sejarah sebagai filem berbahasa Cina pertama menerima pengiktirafan ASEAN Records berikutan kejayaan meraih pelbagai anugerah antarabangsa, pencalonan festival dan tayangan global terbanyak.

BERITA TRENDING: Ramalan FFM33: Filem Imaginur & Abang Adik Beri Saingan Sengit

BERITA TRENDING: Membanggakan! Abang Adik Dinobat Filem Terbaik 10th Asian World Film Festival Di LA

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata filem arahan dan tulisan Jin Ong itu telah menarik perhatian pada festival filem antarabangsa sejak 2023 dengan membawa pulang 28 anugerah antarabangsa dan menerima 69 pencalonan dalam pelbagai festival filem di seluruh dunia.
“Sejak Disember 2023, Abang Adik telah ditayangkan di Malaysia, Taiwan, Hong Kong, Macau, Singapura, Itali, Thailand dan China. Pada Januari 2025, pengarah Jin Ong dan pasukan kreatif filem ini membawa Abang Adik ke layar perak di Jepun dan kini mereka menerima satu lagi penghormatan luar biasa,” menurut FINAS dalam kenyataan hari ini.
Filem ini turut meraih kutipan sebanyak RM5.7 juta di Malaysia, HKD2.8 juta di Hong Kong, TWD100 juta di Taiwan dan RMB3 juta di China, membuktikan popularitinya yang meluas.

BERITA TRENDING: Filem Abang Adik Wakili Malaysia Ke Oscar

Perjalanan filem ini di pentas antarabangsa bermula pada 2020 di Taipei Golden Horse Film Project Promotion apabila memenangi FPP Visionary Award dan MirrorFiction Story Award, sekali gus membuka laluan kepada penerbitannya.
“Abang Adik memulakan perjalanan ke festival filem antarabangsa, mencipta impak di 37th Fribourg International Film Festival, meraih Ecumenical Jury Award dan Audience Award. Kejayaannya seterusnya di 25th Far East Film Festival, dengan tiga kemenangan utama iaitu First Time Director, Golden Mulberry Award, dan Black Dragon Award.
“Filem ini turut memenangi Uncaged Award for Best Feature Film Competition di 22nd New York Asian Film Festival dan menerima penghormatan di 17th FIRST International Film Festival Xining, apabila pelakon utama Wu Kang-ren memenangi anugerah Best Performance, selain Abang Adik turut diiktiraf sebagai sebuah filem berbahasa Cina yang paling dinantikan di China Golden Rooster & Hundred Flowers Film Festival,” menurut FINAS.
Pada majlis penghargaan yang diadakan hari ini, Jin Ong meluahkan kegembiraan atas pengiktirafan itu dan menganggap ia sebagai satu pencapaian penting untuk Abang Adik serta penghargaan besar buat seluruh pasukan, barisan pelakon, kru, pelabur dan produksi.
Penerbit filem Lee Sinje pula mengenang perjalanan filem itu yang menekankan keikhlasan dalam pembikinannya dalam menyuarakan kisah masyarakat terpinggir.
“Kami bermula dengan impian kecil, memberikan suara kepada mereka yang sering dipinggirkan dan menghasilkan filem Malaysia yang boleh menyentuh hati penonton di seluruh dunia. Kami tidak pernah menyangka perjalanan ini akan menyentuh begitu banyak hati di pelbagai negara,” menurut kenyataan itu. -- BERNAMA
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024