HIBURAN
Fasha Sandha Sarung Balik Baju Tunang 7 Tahun Lepas, Terima Anugerah Pingat Jasa Baik
Pelakon popular, Fasha Sandha mencatat satu lagi kejayaan dalam hidupnya apabila dianugerahkan Pingat Jasa Baik (PJB) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis baru-baru ini.
Fasha, 41, atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas pengiktirafan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan karier dan peribadinya selama ini.
“Memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana di atas keizinan dan kurniaan-Nya. Saya adalah anak kelahiran Johor Bahru dan dibesarkan di Perlis selama 12 tahun.
"Hari ini adalah hari bersejarah buat saya atas anugerah dihadiahkan Istana Perlis Indera Kayangan di Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Dan Pingat Negeri Perlis Kali ke-2 sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-82, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail.
"Terima kasih suami tercinta, mama, anak-anak, keluarga dan peminat yang sentiasa mendoakan kejayaanku," tulisnya.
Pelakon drama Rampas Cintaku itu turut mengakui bahawa dirinya tidak sempurna dan mahu menjadikan penganugerahan ini sebagai dorongan untuk memperbaiki diri dan terus memberi kebaikan kepada masyarakat.
“Menjunjung kasih Tuanku di atas PJB ini. Patik ini banyak kelemahan dan kekurangannya berbanding kelebihan.
"Insya-Allah anugerah ini patik jadikan sebagai penyuntik semangat untuk menjadi insan lebih baik," tambahnya.
Turut hadir menemani Fasha pada majlis penuh berprestij itu ialah suaminya, pelakon Aidil Aziz.
Menariknya, Fasha mengenakan baju kurung ungu yang pernah dipakai ketika majlis pertunangannya tujuh tahun lalu, memberi makna sentimental tersendiri dalam momen istimewa ini.
“Pakai baju lama, baju masa tunang. Nasib ada baju 2018 Rizman Ruzaini.
"Selendang dari Rumah Kebaya Bangsar dan kasut hadiah daripada suami tercinta, I love you (saya cinta awak) suami," cerita Fasha lagi.
Selain Fasha, selebriti lain yang turut menerima Pingat Jasa Baik (PJB) pada majlis sama ialah pelakon Rita Rudaini dan Ezany Nizariff.
Must-Watch Video