Berita

Aset Atau Hamba? Doktor KKM Kecewa Dipaksa Bekerja Ketika Anak Sakit - “Saya Dah Penat Dengan Sistem Ini!”

Awani
12/08/2024
15:14 MYT
Sponsor Banner
Aset Atau Hamba? Doktor KKM Kecewa Dipaksa Bekerja Ketika Anak Sakit - “Saya Dah Penat Dengan Sistem Ini!”
"Saya dah penat dengan sistem di KKM,” Itu luahan seorang doktor wanita yang berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di Kuching yang melahirkan rasa kecewa terhadap sistem kebajikan para petugas kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Realiti Hidup

Doktor berusia 32 tahun itu menceritakan kepada Astro AWANI mengenai realiti kehidupan dihadapi dia dan suaminya yang juga seorang doktor bertugas di sebuah klinik kesihatan di Kuching.

"Anak kedua kami yang berusia lapan bulan mendapat jangkitan cacar air (chicken pox), jadi salah seorang daripada kami perlu menjaganya.

"Memandangkan saya mempunyai 'on-call' tidak lama lagi, suami saya (di mana klinik dia bertugas mempunyai lebih ramai doktor) buat keputusan untuk ambil cuti bagi menjaga anak kami.
"Suami diberi cuti selama lima hari untuk menjaga anak kuarantin, tetapi mereka tetap mahu dia bekerja walaupun mengetahui kami tidak dapat mencari penjaga untuk menjaga anak kami yang dijangkiti cacar air dengan jangkitan aktif," katanya, pada Isnin.

Hanya Salah Seorang

Doktor wanita itu berkata, mengikut pekeliling KKM, hanya salah seorang daripada ibu bapa dibenarkan untuk bercuti bagi menjaga anak yang sakit.
"Kenapa ada cuti menjaga anak kuarantin sekiranya tidak boleh digunakan? Masalah tenaga kerja?

"Salah satu sebab mengapa saya buat kerja lain adalah disebabkan ini. Kami bekerja untuk menyara keluarga dan kami juga dipaksa untuk tinggalkan keluarga.

"Jangan buat pekeliling jika Kementerian tidak benarkan kakitangan menjaga keluarga mereka yang sakit," ujarnya.

Aset Atau Hamba

Mengulas lanjut, dia turut melontarkan persoalan sama ada pekerja kesihatan di hospital dan klinik kerajaan dianggap sebagai aset atau hamba.

"Mungkin anak doktor imun daripada sebarang penyakit berjangkit dan boleh menjaga dirinya sendiri pada usia lapan bulan?

"Doktor bukan manusia, mereka tidak dibenarkan untuk sakit dan begitu juga anak mereka. Saya dah penat dengan sistem ini," katanya lagi.
Doktor itu turut berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. dan Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengambil maklum dan menyelesaikan isu kebajikan para petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa Belut Dimasuk Dari Dubur Dalam Perut Lelaki, Doktor Syak Untuk Kepuasan S*ks

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Say Shazril ‘Terduduk’ Bila Tahu Gaji ‘Content Creator’ Cecah RM80,000 Untuk 3 Konten - “Tiada Lagi Badan Yang Menyelia & Mengawal Harga…”
Doktor itu turut menyatakan apa yang terjadi dan isu yang semakin meruncing mengenai kebajikan petugas kesihatan akan membuatkan kerajaan kehilangan lebih ramai doktor.
"Sebelum ini saya amat bersemangat untuk menjadi seorang pediatrik sebelum ia dihancurkan oleh sistem dan persekitaran.
"Sekarang saya hanya mahu pergi dan balik kerja serta melakukan yang minimum sahaja. Terima kasih kerana negara akan kehilangan lebih ramai doktor dalam masa terdekat," katanya.
Doktor berkenaan turut mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlaku 'kejam' terhadap kakitangannya tetapi baik hanya kepada pesakit.
Astro AWANI sedang mendapatkan cuba mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung luahan dan isu yang dihadapi oleh doktor berkenaan.
Sumber - AWANI
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar