Laman Utama

Bad Indigo Jelas Punca Cerai Bukan Sebab Bekas Isteri Tidak Mahu Menjaga Dirinya Yang Sedang Sakit

Izwan Isa
20/07/2022
10:50 MYT
Sponsor Banner
Bad Indigo Jelas Punca Cerai Bukan Sebab Bekas Isteri Tidak Mahu Menjaga Dirinya Yang Sedang Sakit
Penyanyi Bad Indigo menolak cakap-cakap negatif mengenai pendapat sesetengah pihak yang mendakwa perceraiannya bersama selebriti Ashira Aziz disebabkan bekas isterinya itu yang tidak mampu untuk berdepan dengan masalah kesihatan yang dihadapinnya.
Bad menjelaskan, ramai yang ingin mengetahui punca sebenar perceraian mereka kerana ada yang menganggap pengumuman yang dilakukan oleh mereka seolah-olah tergantung dan tidak bertitik noktah.
"Sebenarnya dia mahu membantu saya berdepan penyakit. Dia ada nak ambilkan air, bawak ke bilik mandi dan nak cuci luka. Begitupun, saya sendiri tidak benarkan dan mahu buat semuanya sendiri.
“Saya beritahu dia, jika kami tidak bersama, bagaimana dia nak tolong saya? Justeru, lebih baik saya buat semua benda itu sendiri,” katanya.
Tambah Bad, tiada istilah bekas isteri berpisah kerana tidak tahan untuk menjaga dirinya yang sedang sakit. Katanya, netizen akan mencari punca sebab mereka bercerai kerana cerita mereka selepas berpisah dilihat seolah-olah tidak ada penutup.
“Bagi netizen, cerita kami tergantung, tambahan pula kami masih lagi berbaik. Jadi apabila pengakhirannya sebegitu, mereka tak suka, sebab mereka mahukan kontroversi.
"Kami tidak mempunyai sebarang masalah. Jika ada sekalipun, saya tidak akan dedahkan hal yang aib.
“Orang di luar mungkin boleh berfikir sendiri kenapa kami boleh berkawan baik selepas berpisah. Hal ini bermakna, kami tidak saling membenci,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Bad berkata, dia sentiasa bersyukur sungguhpun hidupnya boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
“Saya bersyukur dengan ujian yang saya dapat. Saya rasa bertuah sebab apa yang berlaku kepada saya ini menandakan Allah mahu memberikan yang lebih baik kepada kita.
“Dia ambil bahagian depan kaki saya tetapi diberikan rezeki kerusi roda elektrik, sumbangan dan juga pekerjaan baharu. Dalam kekurangan saya, lebih banyak kelebihan yang saya dapat,” katanya.
Terdahulu, Bad atau nama penuhnya Badrul Izhan Yeop Abdullah terpaksa menjalani pembedahan membuang tiga jadi kaki akibat diabetes pada 9 Mei lalu.
Kemudian, Bad dan bekas isteri, Ashira mengumumkan yang mereka telah bercerai menerusi sebuah hantaran video pada 23 Jun lalu.
Bad dan Ashira mendirikan rumah tangga pada 11 Mac tahun lalu selepas mereka sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar