Laman Utama

Baring Dalam Kubur, Badan Aishah Ilias Tumbuh Gelembung Gatal... Pengarah Dedah Kerap Berdepan Gangguan Mistik Ketika Penggambaran Filem Musyrik!

Amri Hassan
29/06/2022
15:50 MYT
Sponsor Banner
Baring Dalam Kubur, Badan Aishah Ilias Tumbuh Gelembung Gatal... Pengarah Dedah Kerap Berdepan Gangguan Mistik Ketika Penggambaran Filem Musyrik!
Pengarah berbakat besar, Arjin Uppal berdepan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan sepanjang menjalani penggambaran filem bergenre seram, Musyrik - Api Neraka Menantimu!
Arjin, 33, berkata, antara kejadian pelik dilalui ketika babak Ruhainies memegang batu nesan di tanah perkuburan pukul 3 pagi.
"Batu nesan bukanlah props, sebaliknya saya menggunakan batu nesan sebenar diambil dari tanah perkuburan berkenaan bagi merealisasikan babak ini.
"Ia sepatutnya hanya satu babak panjang, tetapi apabila potong babak ini, kamera masih berpusing dan tidak berhenti seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkannya.
"Bayangkan, kamera masih menyala selepas ‘switch’ ditutup. Hanya selepas bateri dikeluarkan daripada kamera barulah ia berhenti berpusing," ceritanya.
Aishah Ilias gelembung gatal
Bukan sahaja dirinya berdepan kejadian aneh, kata Arjin, ia turut dialami salah seorang pelakon, Aishah Ilias yang melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril.
"Ia membabitkan babak Aishah baring dalam kubur. Secara tiba-tiba, seluruh badan Aishah ditumbuhi gelembung gatal dan penggambaran tidak dapat diteruskan.
"Aishah terpaksa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Keadaan Aishah hanya okay selepas berehat dan penggambaran hanya disambung semula pada keesokan harinya. Saya percaya kejadian aneh yang menimpa Aishah adalah gangguan mistik," katanya.
Sentuh belakang leher
Mengulas mengenai lokasi penggambaran, Arjin berkata, filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! membabitkan dua lokasi iaitu rumah kampung lama yang tidak berpenghuni dan tanah perkuburan.
"Saya masih ingat kami diminta penjaga menyiapkan babak di rumah lama berkenaan sehingga jam 12 tengah malam. Namun, babak dalam rumah hanya selesai pada jam 2 pagi. Seterusnya, kami terus ke lokasi tanah perkuburan.
"Ketika di tanah perkuburan, saya dapatkan merasakan sesuatu menyentuh belakang leher. Saya percaya ia gangguan mistik, tetapi saya buat tak tahu.
"Ada ketika saya pergi belakang rumah untuk mencuci tangan, tetapi secara tiba-tiba, air paip berhenti mengalir. Perasaan saya bercampur berbaur, tetapi saya perlu kuatkan semangat dan bersabar berdepan satu demi satu kejadian aneh," ujarnya.
Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu dibintangi Aeril Zafrel, Ashraf Muslim dan Ruhainies selaku teraju utama. Turut serta, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.
Filem itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar