Laman Utama

"Baru Telefon, Dia Dah Ajak..."- Shahir AF & Jaskin Pergi Kursus Kahwin Online Dulu Baru Bertemu Kali Pertama

Syafiqah Jalal
03/09/2022
13:34 MYT
Sponsor Banner
"Baru Telefon, Dia Dah Ajak..."-  Shahir AF & Jaskin Pergi Kursus Kahwin Online Dulu Baru Bertemu Kali Pertama
Penyanyi Shahir AF mendedahkan pertemuan pertamanya dengan Jaskin Jaludin, 30, dibuat selepas kedua-duanya setuju mengambil kursus perkahwinan secara alam maya pada Mei lalu.
Berkongsi cerita detik perkenalan mereka, Shahir atau nama lengkapnya Ahmad Shahir Zawawi, 33, memberitahu dia mula mendekati Jaskin menerusi laman Instagram.
"Sebenarnya saya mula mengenali dia ketika ternampak di Instagram selepas Raya Puasa bulan Mei lalu. Masa tu saya akui saya yang approach dia dahulu.
"Masa saya buat panggilan pertama itu dia dah ajak saya pergi kursus kahwin dan saya pun tanpa berlengah bersetuju kerana hendak menunjukkan yang saya serius dan kebetulan ketika itu masing-masing sedang mencari jodoh.
"Masa itu kami ambil kursus kahwin secara online. Tak lama selepas itu kami pun ambil keputusan untuk berjumpa buat kali pertama," katanya kepada Gempak.
Shahir ditemui ketika majlis akad nikah yang berlangsung di Bizmilla Wedding Centre, di One City, Subang Jaya, Selangor malam semalam.
Menurut Shahir hatinya mula bertaut pada gadis kelahiran Tawau, Sabah itu kerana nilai hatinya serta perwatakannya yang lucu.
"Kali pertama berjumpa dengannya saya dah dapat rasa yang kami serasi dan selesa.
"Saya terpikat dengan dia kerana Jaskin seorang yang mempunyai nilai hati yang sangat suci dan saya pasti siapa mengenainya pasti akan tahu tentang itu.
"Selain itu dia juga seorang yang lucu. Yelah kita nak cari pasangan bukan untuk dijadikan isteri sahaja tapi sebagai sahabat dan teman yang boleh bergelak ketawa," katanya lagi.
Sementara itu, Jaskin pun memberitahu dia pada mulanya tidak mengetahui bahawa Shahir seorang selebriti.
"Saya tak kenal dia siapa. Malah tak tahu sebenarnya dia seorang artis. Lepas saya dapat tahu saya terus bertanyakan kepadanya betulkah? Sebab saya memang tak menonton program Akademi Fantasia.
"Selepas dia beritahu, insya-Allah saya rasa saya sudah bersedia berdepan dengan apa jua cabarannya malah saya tak akan menghalang untuk dia terus berada dalam bidang ini," kongsinya.
Ditanya soal anak, Shahir bagaimana pun tidak merancang dan hanya berserah kepada rezeki Tuhan.
"Zuriat ini rezeki kami tidak merancang apa-apa, malah jika lagi cepat lagi bagus," jawabnya.
Pasangan yang bakal diraikan dalam satu majlis resepsi pada malam ini bakal menunaikan Umrah yang dijangka pada penghujung tahun sebagai lokasi bulan madu mereka.
Shahir dan Jaskin bertunang pada Julai lalu selepas baru dua bulan perkenalan.
Foto: IG @norezzidris
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar