Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Berdosa Lakukan ‘Troll’ Menggunakan Ayat Suci Al-Quran Walaupun Untuk Tujuan Hiburan

Gempak 27/05/2024 | 09:25 MYT

Perbuatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dengan cara provokatif sehingga menyebabkan sesuatu hantaran di media sosial meraih perhatian dilihat menjadi trend dalam kalangan sekelompok netizen masa kini.

Ia dapat dilihat menerusi perbuatan segelintir pengguna media sosial yang sanggup melakukan hasut maya (troll) dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran seperti mempersendakan kalamullah itu dengan menulis ayat Al-Quran menggunakan bahasa Inggeris dan rumi.

Troll

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, tindakan melakukan hasut maya menggunakan ayat Al-Quran merupakan satu perbuatan dosa walaupun dilakukan atas tujuan hiburan.

Hal ini kerana, ia dianggap sebagai menghina dan merendah-rendahkan kitab suci umat Islam, selain ia tidak boleh dipandang enteng kerana berkemungkinan pelakunya boleh jatuh ke lembah kekufuran.

“Selaku pengguna media sosial, seharusnya kita menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak serta mempamerkan adab dan akhlak seorang Muslim kerana penggunaannya kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

“Trend-trend yang ‘tidak sihat’ seperti ini sewajarnya tidak diikuti kerana implikasinya kepada agama,” katanya.

Kenyataan di atas dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-848: Hukum Troll Menggunakan Ayat Al-Quran yang disiarkan di laman web pejabat mufti berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan, para ulama bersepakat mengkafirkan golongan yang memperlekeh, meremeh dan menghina al-Quran dengan apa jua cara sekalipun mereka mengetahui tentang pengharaman tersebut.

Salah

Antara jenis penghinaan terhadap al-Quran itu termasuklah meremehkan kandungan di dalamnya atau mana-mana bahagian daripadanya, meletakkan mashaf pada tempat yang kotor, mendustakan hukum-hakam dan perkhabaran, menafikan perkara-perkara disabitkan dan mensabitkan perkara yang ternafi atau meragui mana-mana daripada kalam suci berkenaan.

“Menurut Ibnu Al-Arabi, setiap perkataan yang mempersendakan al-Quran sama ada dilakukan dengan tujuan bermain-main atau dalam keadaan bersungguh-sungguh, hukumnya seseorang itu tetap menjadi kufur.
“Apatah lagi jika gurauan itu berkait hal-hal kekufuran, maka ia tetap menjadi kafir tanpa perselisihan ulama,” katanya.
Seperkara lagi, perbuatan tersebut juga melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan apa-apa perkataan dan perbuatan yang mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan.
“Hal itu tertakluk di bawah Seksyen 8, mempersendakan dan lain-lain ayat al-Quran atau hadis,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Sumber foto: The Dancing Rain (Unsplash)

ARTIKEL BERKAITAN: "Haram Cium Hajar Aswad Jika Bahayakan Diri & Orang Lain" - Dr Zul

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Zul Mohon Hentikan Trend Bawa Kek, Sambut Birthday Di Kubur Anak

#Troll #Berdosa #Ayat suci Al-Quran #Hasut maya
;