Laman Utama
Boy Iman Dah Dapat Surat, Reda & Terima Keputusan Istana – “Surat Lambat Terima Sebab…”
Pelakon dan usahawan Boy Iman memberitahu sudah menerima surat rasmi berhubung penarikan darjah kebesarannya, semalam.
Boy ketika dihubungi Gempak berkata, dia diberitahu surat tersebut tiba lewat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukan disengajakan.
“Saya sudah menerima surat rasmi dan bukan salah mereka surat tersebut lewat sampai. Surat tersebut menurut mereka, sudah dipos awal tetapi lewat sampai kerana situasi sekarang.
“Bagaimanapun dalam kandungan surat tersebut tidak dinyatakan sebab Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) saya ditarik balik,” kataya.
Tambah Boy lagi, dia dengan penuh rasa hormat dan reda menerima keputusan dari pihak Istana Pahang .
“Saya berbesar hati apabila dianugerahkan gelaran ‘Dato’ pada 2017 dan hari ini saya dengan penuh rasa hormat, menerima keputusan dari pihak Istana Pahang menarik balik gelaran tersebut,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia tidak dapat menerima hakikat darjah kebesaran ditarik balik, Boy berkata, wargamaya tidak faham isu yang dipersoalkan.
“Mereka (wargamaya) tidak faham apa yang saya persoalkan. Saya tak ada cakap pun yang saya tidak menerima hakikat.
“Saya hanya persoalkan mengenai protokol dan prosedur, itu sahaja. Tidak ada niat langsung untuk saya perlekehkan protokol atau mempertikaikan keputusan istana.
"Apa pun saya mohon maaf sekiranya ia menimbulkan salah faham sehingga menyebabkan wargamaya bercakap mengenainya," kata Boy.
Terdahulu tular di media sosial tentang pengumuman rasmi penarikan balik darjah kebesaran iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Norul Iman Abdul Rahman dan Farid Kamil Zahari berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam satu kenyataan berkata, penarikan gelaran itu bagi menjunjung titah perintah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.