Hiburan
Dah Setahun Pemergian Suami, Hati Noniswara Belum Bersedia Untuk Bergelar Isteri Semula - "Ramai Saja Yang Melamar Saya Sebenarnya"
Pelakon Datin Seri Noniswara mendedahkan dia banyak menerima lamaran daripada lelaki yang mahu menjadikannya isteri.
Bagaimanapun dia masih belum lagi bersedia untuk membuka hati untuk berkahwin semula selepas pemergian suaminya, Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad pada tahun lalu.
Nonis bagaimanapun tidak mahu bercakap lebih kerana bimbang suatu hari nanti kata-katanya akan memakan dirinya semula.
“Ramai saja yang melamar saya sebenarnya. Tapi, hati ini belum terbuka dan belum bersedia lagi.
“Ya Allah ya tuhanku, tak nak cakap takbur, tak tahulah kalau esok lusa hati ini terbuka. Al-Fatihah buat arwah suami,” katanya menerusi kapsyen di Instagram Story.
Dalam pada itu, Nonis sempat mengucapkan tahniah kepada balu Allahyarham Suhaimi Saad, Ina Naim yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama suami, Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor pada Jumaat yang lalu.
Dalam hantaran yang sama, ibu kepada pelakon Erysha Emyra turut berkongsi dia dan Ina kehilangan suami tercinta pada tahun yang sama.
“Alhamdulillah, tahniah Ina. Saya gembira untuk awak. Kita sama-sama kehilangan suami tercinta di tahun yang sama.
“Arwah suami saya meninggal dunia pada 1 Oktober 2023 dan suami Ina pada 15 November 2023. Syukur Alhamdulillah, Ina sudah ‘move on’ dan berjumpa pengganti arwah. Semoga ina bahagia hingga ke syurga,” kongsinya.
Sekadar info, suami kepada Noniswara, Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad telah menghadap ilahi akibat strok otak di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.