Laman Utama

Dendang Hampir 20 Lagu, Peminat Puas Hadir Konsert Noah! Lagi Untung Dapat Pegang Tangan Ariel...

Asyikin Mayudin
13/11/2022
01:31 MYT
Sponsor Banner
Dendang Hampir 20 Lagu, Peminat Puas Hadir Konsert Noah! Lagi Untung Dapat Pegang Tangan Ariel...
Sorokan dan jeritan 2,500 peminat memenuhi setiap ruang Zepp Kuala Lumpur ketika Ariel, Lukman dan David muncul di pentas konsert Noah yang berlangsung pada malam semalam.
Pentas dibuka dengan persembahan lagu popular kumpulan Noah iaitu Separuh Aku yang membuatkan semua peminat turut tidak melepaskan peluang untuk ‘sing along’.
Biarpun berdepan dengan masalah teknikal di awal persembahan, namun suara vokalis kumpulan Noah iaitu Ariel tetap berjaya memukau peminat tegar mereka.
Selain Ariel, Noah yang dianggotai dua orang ahli pemuzik lagi iaitu Lukman selaku gitaris dan juga David, pemain keyboard, telah mempersembahkan hampir 20 buah lagu.
Kesemuanya termasuk lagu-lagu hit dari awal penubuhan band Indonesia tersebut sekitar sedekad yang lalu seperti Menghapus Jejakmu, Wanitaku, Diatas Normal, Yang Terdalam, Bintang Di Surga dan Mungkin Nanti.
Sepanjang membuat persembahan berterusan selama 90 minit, Ariel sentiasa bermesra dan berinteraksi selain sempat menghulurkan tangan kepada peminat yang berada di barisan hadapan pentas.
Sebelum mengakhiri persembahan, Ariel turut memberitahu mereka merancang untuk mengadakan konsert yang lebih besar selain bakal melancarkan video muzik salah satu lagu dalam album terbaharu mereka dalam masa terdekat.
“Sampai juga kita di penghujung waktu, tak terasa pun masa berlalu. Moga tahun depan kembali dan ketika itu lagu baru pun sudah dilancar. Untuk tahu depan, kita buat di tempat lebih besar.
“Tahun ni masih promosi lagu-lagu dari album Keterkaitan Keterikatan. Dalam masa terdekat ini juga kami akan lancar video muzik (MV) terbaharu. Tapi tak boleh umum siapa pelakon dalam MV itu,” katanya.
Seramai 3 orang pemuzik profesional turut mengiringi persembahan NOAH dengan kejutan istimewa untuk pengunjung yang berupa ‘Concert Kit’ buat setiap pembeli tiket.
Menurut Ib Harun, Pengasas YOLO Asia, peminat yang hadir pada malam semalam turut diberikan ‘led wrist-band’ atau gelang tangan led sebelum memasuki dewan konsert.
Lampu led di gelang tangan akan menyala mengikuti ritma tempo muzik yang dibawakan ketika konsert berlangsung. Ini merupakan kali pertama seumpamanya gajet sebegini digunakan di Malaysia dalam konsert bernuansa Melayu.
“Selain itu peminat juga turut menerima sekeping kad bersaiz Touch ‘n Go dengan paparan band Noah sebagai kenang-kenangan,” katanya.
Selaku Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah pula berkata, disebabkan sambutan yang luar biasa, pihak mereka sudah merancang untuk mengadakan konsert YOLO x Noah 2023 di ruang yang lebih besar.
“Kesemua pengunjung yang hadir memberikan respon yang sangat positif dan menyatakan kerinduan mereka terubat setelah melihat Noah membuat persembahan tanpa henti selama 90 minit.
“Oleh kerana sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli tiket, YOLO Malaysia sudah pun merencanakan YOLO x Noah 2023 pada tahun hadapan di ruangan yang lebih besar.
“Dan khas buat peminat-peminat muzik K-pop di Malaysia nantikan juga sebuah pesta berteraskan muzik K-pop yang dipanggil YOLO K-razee tidak lama lagi,” ujarnya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar