Dhabitah Sabri Pernah Cedera Di Kejohanan Akuatik Dunia, Jiggy Titip Pesanan Untuk Isteri - “Jaga Diri, Jangan Pressure & Sentiasa…”
Suami kepada penerjun negara Nur Dhabitah Sabri, iaitu pelawak Jiggy melahirkan rasa syukur apabila isterinya berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 3 meter di Aquatic Centra pada malam Rabu.
Dhabitah Gementar
Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri berkata isteri berasa gementar untuk temasya sukan olimpik kali ini memandangkan pernah mengalami kecederaan pada kejohanan terdahulu.
“Sebenarnya memang gementar tapi Insya-Allah Bitah dah bersedia untuk perlawanan malam tadi. Ikutkan masa world champion sebelum ini dia ada alami kecederaan.
“Mostly team mates dia pun alami kecederaan semasa world champion itu. Jadi, untuk kali ini Insya-Allah dia memang dah bersedia dari segi mental dan fizikal,” kata Jiggy kepada Gempak.
Titip Pesanan
Bimbang dengan keadaan Dhabitah, Jiggy bagaimanapun sentiasa berpesan kepada isterinya agar menjaga diri, tidak terlalu tertekan dan ingat pada Allah.
“Risau tu jangan cakap la memang risau tapi saya selalu pesan kepada dia agar jaga diri, jangan pressure dan sentiasa ingat Tuhan dulu baru fikir diri kita.
“Dia pun tahu apa yang dia lakukan dan dia selalu berpegang pada apa-apa pun, akhirnya Tuhan dah tulis rezeki masing-masing. Jadi, dia hanya nak fokus yang terbaik untuk tiga hari ini,” ujarnya.
Rindu Isteri
Merindui isteri tercinta, Jiggy memberitahu dia dan Dhabitah kerap membuat panggilan video untuk membincangkan persembahannya selain memberi kata-kata semangat.
“Gila tak rindu… boleh kata kerap juga kami video call tapi lebih kepada bincang mengenai persembahan dia selain memberi semangat dekat dia. Fasal bila dia tengah bertanding, saya memang takkan sentuh peribadi isu.
“Tak nak dia berfikir sangat… memang nak dia fokus buat yang terbaik dan habiskan apa yang dia dah mulakan. Sumbangan dan pengorbanan dia besar.
“Banyak dah dia berkorban kan… jadi, sebagai suami, saya hanya nak yang terbaik untuk dia dalam bidangnya,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Nur Dhabitah Sabri Layak Ke Separuh Akhir
Penerjun berusia 25 tahun itu juga akan beraksi dalam acara separuh akhir pukul 4 petang pada Khamis.
Dhabitah pada masa sama perlu kedudukannya berada dalam kalangan 12 terbaik untuk mara ke peringkat akhir dan jika mahu merebut pingat gangsa Olimpik.
Saksikan aksi atlet Malaysia secara siaran langsung di Gempak.com. Ikuti perkembangan dan keputusan terkini Olimpik Paris 2024 di sini.