Laman Utama
Dikutuk Lagu Sendu, Kalam Dari Shiha Zikir Bertanding AJL 38
Disifatkan sebagai penyanyi dan pemilik lagu sendu namun sentiasa lolos dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu, Shiha Zikir mengaku tidak berkecil hati dan sedar dirinya dilabelkan sedemikian oleh netizen di aplikasi X.
BERITA TRENDING: Shiha Zikir Cari Individu Pecah Masuk Kedai Nasi Ayam Miliknya - “Meh Sini nak Suap Nasi Ayam Meh”
Shiha malah mengaku tohmahan yang dilempar kepadanya seperti lagu sendu, peminat macam tak wujud dan engegement media sosial lebih sendu daripada akaun budak sekolah, semua adalah betul.
“Betul, saya mengaku semua itu betul, tak ada yang salah apa dia cakap.
“Sebagai contoh dia kata akaun Instagram (IG) saya megah dengan followers tapi kurang dari segi ‘engagement’. Saya tak nafikan apa yang diperkatakan itu cuma bila orang tanya saya jawapan, saya tak boleh jawap sebab ini berada di luar kawalan saya.
“Dari dulu sampai sekarang, konsep saya sama sahaja iaitu saya sangat pentingkan kualiti berbanding kuantiti.
“Selagi mana saya berada di atas pentas, saya akan buat sehabis baik saya,” kata Shiha sewaktu ditemui pada sidang media hari pertama konsert Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM 38) yang diadakan di Studio Natseven yang bertempat di Glenmarie, Shah Alam.
BERITA TRENDING: AJL37: Alami Batuk Berdarah Seminggu Sebelum AJL, Shiha Zikir Nafi ‘Diganggu’; “Saya Dah Terfikir…
Malah pertaruhan dua lagu Shiha di semifinal 38 nampaknya mengena apabila Kalam diumumkan sebagai salah satu daripada 12 lagu yang layak bertanding di pentas berprestij AJL pada 3 Mac 2024 depan.
Kalam dihasilkan idea tiga komposer Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves dengan Shiha menulis liriknya. Dia menyifatkan Kalam adalah pertuturan atau perkataan yang perlu dijaga, sama seperti kritikan atau apa sahaja pandangan yang diberikan seseorang.
Dengan kemaraan lagu Kalam ke pentas akhir, ironi ia menjadikan Shiha sebenarnya baru dua kali bersaing di AJL.
“Ada yang cakap saya saban tahun masuk AJL. Saya fikir bukan begitu. Sebenarnya bukan saban tahu, kali pertama saya masuk AJL pun sebab saya ganti Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sebelum itu, beberapa lagu saya sendiri hanya berjaya pada peringkat SFMM.
“Kali pertama saya masuk AJL melalui lagu AEWO bersama dengan Noki disusuli dengan lagu Irama yang bersaing tahun lalu. Itu sahaja, baru dua kali saya masuk AJL.
“Saya tak menang pun, saya hanya menang kategori persembahan terbaik pada AJL 37 melalui lagu Irama,” jelas penyanyi berusia 36 tahun itu lagi.
Shiha malah sempat meninggalkan pesan buat netizen agar bercakap atau meninggalkan komen yang baik sebagai menjaga reputasi pengguna media sosial di Malaysia.
“Bagi netizen, saya harap mereka cuba muat naik komen yang mampu mendidik khalayak berfikir positif. Sokong semua orang, usah pertikai kenapa artis itu boleh masuk atau sebaliknya,” kata Shiha lagi.