Hiburan
"Elak Andaian Cetus Spekulasi Cerai Fazura, Fattah" - Pengurus
Aktres Fazura menerusi pihak pengurusannya meminta agar semua pihak berhenti membuat andaian yang boleh mencetuskan spekulasi kurang baik mengenai keputusan memfailkan permohonan cerai terhadap suami, Fattah Amin, Jumaat lalu.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, meminta semua pihak turut menghormati mahkamah.
BERITA TRENDING: 7 Tahun Kahwin, Fazura Fail Cerai Terhadap Fattah Amin
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung permohonan cerai yang dibuat termasuk memperincikan butiran memohon cerai secara baik atau menunggu tarikh prosiding ditetapkan seperti yang tersebar sebelum ini.
“Kami dari pihak pengurusan, pihak peguam dan Fazura sendiri mengesahkan bahawa tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Fazura semenjak tularnya kisah permohonan penceraian beliau.
“Permohonan yang telah difailkan adalah merupakan satu permohonan cerai dengan kebenaran mahkamah sebagaimana kehendak undang-undang,” ujar Iman Tang menerusi kenyataan yang diberikan kepada Gempak.
“Fazura juga berharap agar tiada pihak yang membuat sebarang kenyataan berbentuk andaian sendiri bagi mengelakkan pelbagai spekulasi tentang rumah tangga mereka,” ujar kenyataan tersebut.
Terdahulu media tempatan melaporkan Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah, 33, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Permohonan cerai tersebut difailkan oleh pihak peguam Fazura di Mahkamah Syariah Petaling, Subang Bistari, Selangor.
Fattah mengaku tidak tahu sewaktu memberi respons terhadap permohonan cerai yang diminta isterinya.
Ironi Fattah pada awal Ogos menafikan berdepan masalah rumah tangga dan mengatakan hubungan suami isteri bersama Fazura berada dalam keadaan baik.
Pasangan selebriti yang dikurnai seorang cahaya mata perempuan Nur Fatima Aisya, 4, berkahwin pada 2017.