Hiburan
"Fattah Amin Adalah Sebaik-Baik Manusia, Fazura Juga Begitu, Cuma…” - DJ Sonic
Pengacara dan penyampai radio DJ Sonic berkongsi keperibadian pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin.
Enggan Sentuh Hal Rumah Tangga Fattah, Fazura
Menurut Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein, 45, dia berkata Fazura tidak pernah bercerita hal buruk mengenai rumah tangganya kepada orang lain.
"Apa yang saya tulis dalam InstaStory baru-baru ini adalah ikhlas dari hati. Saya rapat dengan Fazura dan Fattah serta keluarga mereka sebab sepupu saya berkahwin dengan abang Fazura.
"Saya sebenarnya tak mahu masuk campur dalam hal perkahwinan mereka cuma harap yang baik-baik serta segala urusan mereka dipermudahkan.
"Fattah Amin adalah sebaik-baik manusia, Fazura juga begitu cuma saya tak boleh sentuh tentang apa yang berlaku sekarang," katanya kepada pemberita, semalam.
Fazura Tak Cerita Buruk Tentang Fattah
Tambah Sonic, dia menyifatkan Fazura mahupun Fattah sangat disenangi ramai, malah keluarga mereka sangat rapat.
“Dengan nama Allah Fazura tidak pernah bercerita hal rumah tangga dia dengan saya.
"Fazura adalah individu yang selalu beri aura positif kepada kita. Dia tidak meluah dan tak bercerita buruk tentang Fattah sebaliknya berkongsi Fattah adalah lelaki yang baik sebagai seorang ayah.
"Keluarga Fattah dan Fazura sangat rapat sebenarnya. Jadi, apa yang belaku sekarang ini, kita doakan terbaik,” harapnya.
Fazura Pemurah
Dalam pada itu, Sonic turut mendedahkan Fazura sering membantunya dari segi kewangan sejak detik pertama perkenalan mereka.
"Untuk makluman semua, saya bukan lahir dari keluarga yang senang. Ketika saya tiba di Kuala Lumpur dulu, Fazura yang banyak beri rezeki kepada saya. Setiap bulan saya tidak ada masalah nak beri wang belanja kepada keluarga di kampung sebabkan dia.
"Pernah suatu ketika, saya tiada duit, dia yang banyak bantu," dedahnya.
DJ Sonic mendapat perhatian ramai apabila tampil berkongsi cerita keperibadian Fazura di Instastory pada Ahad lalu.
Terdahulu, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.
Difahamkan permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.