Laman Utama

Gabungan Hebat! AC Mizal Bergabung Bersama Anaknya Dalam Single MINE

Asraf Aided
13/12/2021
13:14 MYT
Sponsor Banner
Gabungan Hebat! AC Mizal Bergabung Bersama Anaknya Dalam Single MINE
Darah seni yang mengalir dalam tubuh selebriti versatil, Dato' AC Mizal, 49, kini dipanjangkan oleh anak terunanya, Muhammad Reeve Damien berusia 18 tahun.
Legasi yang diteroka suami kepada Datin Emylia Rosnaida ini sejak menganggotai kumpulan rap 4U2C meledak di era 90-an ternyata berkesinambungan.
Lamaran syarikat rakaman Universal Music Malaysia menyunting anaknya yang selesa dipanggil Damien disambut baik.
Penantian sekian lama juga cukup berbaloi biarpun harus menempuhi situasi tak terduga pandemik COVID-19 hingga melengahkan tempoh waktu perancangan asal single sulung berjudul MINE dilancarkan. Istimewanya juga, MINE buat julung kali menyaksikan gandingan pertembungan dua generasi antara pengacara popular itu dengan anaknya.
"Segala mengenai pembabitan dan perjalanan proses pembikinan lagu ini membuatkan saya teruja dan bangga. Semuanya dibuat dengan teliti. Untuk single pertama anak saya menyatukan kami dan menjadi sisi lain yang buat tersentuh hati dan terharu.
"Tak pernah terjangka semua ini akan berlaku dan tersusun cantik. Penantian bertahun tahun yang saya pendam dan harap, benar benar direalisasikan.
"Akan datang saya dan dia akan satu pentas membuat persembahan. Ia rasa yang tak terungkap dengan kata kata," kata pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu.
Tambah AC, lagu MINE juga menyaksikan anaknya sebagai penerbit lagu dan penulis lirik selain menyumbangkan vokal. MINE yang bernuansa Pop R&B dan Hip Hop dicipta khas oleh Adam E, Freddie Laut dan ADL. Liriknya pula hasil nukilan Damien, AC di samping Adam E dan ADL.
"Lagu ini sepatutnya dilancarkan tahun lalu. Tapi siapa mampu menebak, dunia diserang wabak COVID-19 hingga sekatan pergerakan dilaksanakan. Setahun juga menanti kerana perlu berdepan beberapa siri penangguhan.
"Jadi ia akhirnya dibawa tahun ini. Lagu itu dirakamkan 3 Januari lalu. Manakala video muziknya pula dilunaskan penggambarannya pada 10 Oktober lalu. Saya serahkan tanggungjawab memberi nyawa untuk lagu ini kepada anak. Lagipun anak saya lebih arif dengan apa yang dirasakan sesuai pada zaman sekarang," katanya.
Dalam pada itu, AC juga bangga melihat Damien yang cukup bersedia dengan setiap proses dari mula hingga selesai.
"Saya sendiri tak mahu projek lagu duet ini jadi asal boleh. Saya dan anak mahu ia dihasilkan sesempurna mungkin. Pihak Universal Music sendiri faham kehendak dan hala tuju diingini kerana saya jenis yang mementingkan kesempurnaan. Pendek kata, bunyi, susunan lagu dan video muzik sampai pada paras kepuasan saya.
"Ternyata anak saya seperti lulus dengan baik untuk percubaan sulungnya ini. Tak banyak aspek yang perlu diubah. 'Feel' yang dizahirkannya dalam lagu ini juga kena. Saya sendiri juga turut menyanyi rap dengan suntikan elemen yang baru dan tidak seperti kebiasaan," katanya lagi.
Sementara itu, Damien berterima kasih kerana impian yang ditunggu menjelma juga akhirnya.
"Ia satu perasaan menakjubkan apabila impian yang dulu hanya angan-angan dapat direalisasikan. Saya mahu berterima kasih kepada bapa dan Universal Music kerana menjadikan ia sebuah kenyataan.
"Saya sendiri mengikuti kelas belajar vokal dengan bapa lebih enam bulan. Lega rasanya penantian itu akan membuka lembaran dan cabaran baru," katanya yang sudah bermain gitar lebih lima tahun lalu.
MINE menurut pemahaman Damien ialah sebuah karya cinta di era moden termasuk sisi berdating dalam talian.
Lagu ini telah tersedia di semua platform penstriman digital sejak 10 Disember lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024