Hiburan
"Ingatkan Pantulan Lampu, Tapi Lori Masuk Jalan Kami" - Azlan Komeng Cerita Detik Cemas Kemalangan, Perlu Bedah Pinggul
Pelakon, Azlan Komeng menceritakan kembali detik cemas ketika terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Pahang bersama isteri, Nur Nilam Ortiz pada Sabtu lalu.
Jelas Azlan, atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran, 48, kejadian itu berlaku sekitar pukul 2 pagi dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang memasuki laluan bertentangan.
“Kejadian ini berlaku pada malam sabtu sekitar pukul 1.30 pagi atau 2 pagi, saya dan isteri dalam perjalanan dari Kuala Lipis kembali ke Kuala Lumpur.
“Dalam perjalanan pulang, isteri saya yang melihat ada sebuah lori yang datang ke arah kami, masuk lorong kami.
“Pada mulanya saya ingatkan ia hanyalah pantulan lampu tapi bila makin dekat lori itu betul berada depan kami. Saya kemudiannya gerakkan kenderaan ke tengah jalan.
"Jadi, bila lori itu memasuki lorong kecemasan dan pemandunya mula sedar, ia menghala ke kiri, ke arah isteri saya. Saya pun membelok ke kiri untuk mengelak daripada melanggar isteri saya. Setelah hampir mengawal kenderaan, lori itu juga kembali ke kanan. Jadi, ia betul-betul tepat di bahagian saya memandu.
“Saya memang dapat melihatnya dengan jelas kerana saya dan isteri tidak pengsan atau tertidur ketika memandu,” katanya kepada Gempak.
Cedera bahagian pinggul
Akibat kemalangan itu, Azlan mengalami cedera pada beberapa anggota badan termasuk bahagian pinggul yang memerlukan pembedahan.
“Saya mengalami banyak kecederaan pada anggota badan, tetapi yang paling teruk adalah di bahagian pinggul sebelah kanan.
“Kecederaan pinggul saya adalah yang paling serius kerana tulang pinggul saya terkeluar dari kedudukannya. Menurut doktor pakar, kepala tulang pinggul saya telah pecah sebanyak 30-40%, jadi saya terpaksa menjalani pembedahan walaupun risiko yang tinggi. Semua ini perlu dilakukan secara berperingkat.
“Selain itu, saya juga mengalami kecederaan di lengan kanan dan bawah lutut kiri saya turut mengalami luka dalam serta patah tulang di bahagian depan lutut,” jelasnya yang bakal berehat selama enam bulan.