Laman Utama

Karya Terakhir Arwah Mamat Khalid, Masterpiece Atau Tidak? Ini Review Terpaling Jujur Kampong Pisang Berbuah Dua Kali! #PopcornTime

Hanafis Haris
12/03/2022
07:46 MYT
Sponsor Banner
Karya Terakhir Arwah Mamat Khalid, Masterpiece Atau Tidak? Ini Review Terpaling Jujur Kampong Pisang Berbuah Dua Kali! #PopcornTime

Filem sentuhan dan idea asal terakhir seniman terulung Allahyarham Mamat Khalid? Siapa saja tak teruja untuk melihat hasilkan bukan?

Begitu jugalah dengan penulis, apatah lagi apabila melihat ‘trailer’ atau sedutan babak-babak menarik dimuat di platform media sosial Astro Shaw. Nampak promising!

Sebab itu jugalah, penulis tidak teragak-agak untuk melanggan Filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali di Astro First!

Ye lah, filem ni walaupun diarahkan oleh anak Allayarham iaitu Amen Khalid, namun idea asal tetap datangnya daripada Mamat Khalid.

Jadi pastinya DNA itu tidak jauh lari bukan?

Sejauh mana hebatnya Filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, berikut merupakan ulasan jujur penulis.

Sinopsis:

Kampong Pisang terus dilanda misteri dan kali ini penduduk diganggu oleh roh penghibur Mak Yong yang meninggal dunia bernama Cik Mek.

Kejadian misteri turut menular pada Cik Gerhana yang merupakan adik kepada Cik Purnama.

Cik Gerhana yang bekerja sebagai nelayan kemudian telah jatuh hati dengan seorang gadis ketika menghadiri satu upacara perayaan.

Namun apakah punca roh Cik Mek datang menyerang Kampong Pisang? Apa pula nasib penduduknya? Apa pula kaitannya dengan Gerhana?

Review:

Filem ini dimulakan dengan kemunculan watak ghaib seakan hantu atau lembaga yang muncul di perairan berdekatan Kampong Pisang.

Kemunculan itu sekali gus menimbulkan persoalan penonton apakah yang bakal dihidangkan kali ni?

Dalam erti kata lain, ‘apa lagi bala Kampong Pisang ni’.

Seperti biasa, babak utama dan paling kerap dipaparkan dalam filem Kampong Pisang adalah di warong Pak Jabit.

Penonton akan terus dibawa dengan jenaka-jenaka atau lawak ‘masuk air’daripada kesemua watak utama.

Lega rasanya bila ‘pacing’ filem ini laju.

Mula saja filem sudah bertubi-tubi lawak jenaka dihidangkan. Macam biasalah, pelanggan tetap Warong Pak Jabit adalah Barkoba, Pak Din, dan Pak Karim (Mat London)

Namun, special kali ini filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali menampilkan watak Gerhana iaitu adik kepada Purnama. (geramnya nama!)

Bagi penulis, Gerhana memainkan watak penting sebenarnya dalam merungkai misteri Kampong Pisang apabila dia mampu melihat ‘jelmaan’ sekumpulan penari bunian.

Malah, dia jugalah yang mampu melihat Cik Mek lakonan Datin Paduka Eina Azman yang pada awalnya sukar dilihat oleh penduduk lain.

Ketika inilah elemen misteri alam ghaib itu mula mencanak-canak muncul, sekali gus timbulkan rasa seram penonton.

Berbalik pada filem, penulis kagum apabila ia dihasilkan dengan begitu bagus bukan tidak asal boleh atau asal siap.

Bila melihat sinematografi, gaya sudut kameranya, warna ‘grading’, semua nampak berkualiti. Memang ada standard tersendiri.

Tarik nafas lega penulis dibuatnya! Syabas Amen!

Lawak Jenaka Mamat Khalid!

Elemen lawak jenaka dalam filem ini sebenarnya amat penting, apatah lagi ia membawa nama Mamat Khalid!

Harapan dan ‘benchmark’ itu sudah tinggi kerana filem sebelum ini sangat epik dan ‘pecah perut’. Jadi adakah Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mencapai standard itu?

Pada awal filem penulis hanya tersenyum sipu dan ketawa kecil melihat babak-babak di Warong Pak Jabit.

Namun, semua itu berubah apabila penulis gelak besar ketika di munculnya wakil rakyat di surau Kampong Pisang.Bertubi-tubi lawaknya!

Kangkung pun boleh jadi bahan lawak!

Selain itu, berkemungkin juga loghat perak itu sangat dekat dengan penulis hingga merasakan setiap bait perkataan ‘ancient’ yang keluar dari pelakon membuatkan penulis terhibur.

Lama tak dengar perkataan bengkeng (bengis atau marah).

Apapun semua watak dalam filem ini berjaya membawa lawak dan ‘punchline’ mereka sendiri. Jika tidak kelakar sekali pun, ia tetap tidak ‘kosong’.

Sindiran Halus

Bercakap mengenai lawak ‘kosong’, rasanya sudah menjadi identiti arwah Mamat Khalid dengan lawak ‘double meaning’

Bukan Mamat Khalid lah kalau tidak menyindir secara halus.

Kali ini banyak juga tamparan hebat dibuat dalam filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

Seakan cantik ‘timing’ filem ini dikeluarkan, kerana banyak sindiran mengenai kerenah ketika pilihan raya.

Daripada gelagat wakil rakyat sehinggalah elemen rasuah menabur duit. Cukup pedas dan menusuk kalbu!

Kemunculan Istimewa

Filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali tidaklah mempunyai kemunculan khas dengan nama yang tidak dijangka.

Namun, ada beberapa watak lama telah dikembalikan dalam filem ini, sekali gus membuatkan ia bertambah dramatik.

Ada beberapa watak yang rasanya tidak best kalau disebut, namun anda perlu tonton untuk melihat siapakah yang dimaksudkan.

Apapun, penulis teruja melihat penampilan Datin Paduka Eina Azman yang membawakan watak Cik Mek.

Rasanya kali terakhir penulis melihat kemunculannya ketika filem Zombie Kilang Biskut, namun kali ini Eina membawa watak yang cukup menarik.

Nampak elegan, ada kelas dan klasik!

Soundtrack Power!

Satu lagi kekuatan filem ini (dan filem sebelumnya) adalah pemilihan lagu.

Antara sebab mengapa karya Mamat Khalid sangat enjoy ditonton adalah selingan lagu yang dipilih.

Sangat sesuailah kalau ditonton dengan mak ayah kita sebab lagunya sangat menggamit kenangan lalu.

Paling ‘mahal’, anda akan mendengar suara Eina Azman berduet dengan Azman Mantra (Gerhana).

Plot Twist Padu!

Daripada awal filem ini, kita dibawa menyusuri perjalanan misteri Kampong Pisang.

Kejadian-kejadian aneh, penampakan lembaga misteri serta kemunculan jentera bunian membuatkan ramai tertanya apakah puncanya?

Siapa dalang disebalik kejadian ini?

Pengarah bijak membawa elemen yang sedang trending dengan mengaitkan dengan kisah misteri. Anda pasti tidak menjangkakan pengakhiran filem terbaru ini!

Apapun syabas dengan hasil pengarahan Amen Khalid yang tidak mengecewakan.

Penulis sangat berharap legasi ini diteruskan tanpa mengubah DNA atau ‘signature’ Allahyarham Mamat Khalid yang sudah sebati dengan jiwa masyarakat Malaysia.

Jadi buat semua penduduk di Malaysia, silalah tonton filem idea asal Mamat Khalid ini, memang tidak mengecewakan.

Tambahan pula dengan pelbagai isu melanda negara dan dunia, apa kata rehat sebentar, layan sejenak filem seram komedi hebat ini.

Rating Gempak : 8/10

Kampong Pisang Berbuah Dua Kali boleh dilanggan di saluran pawagam rumah, Astro First (CH 480) manakala secara online di aplikasi Astro Go dan platform On Demand yang mana caj harga yang dikenakan sebanyak RM15 bagi tontonan selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar