Laman Utama

Keluarkan RM10,000 KWSP, Bank Bakal Reject Loan? Netizen Dah Cuak, Tapi Betul Ke?

Hanafis Haris
17/03/2022
01:16 MYT
Sponsor Banner
Keluarkan RM10,000 KWSP, Bank Bakal Reject Loan? Netizen Dah Cuak, Tapi Betul Ke?

Semalam kerajaan bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Dalam sidang media khasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Biarpun pengumuman itu disambut baik ramai pihak khususnya pencarum KWSP, namun ada pula yang mendakwa pengeluaran tersebut akan memberi kesan kepada proses pinjaman bank kelak.

Menerusi satu kenyataan yang tular di Twitter itu, individu berkenaan memberi amaran kepada mereka yang berhasrat mengeluarkan RM10,000 daripada akaun KWSP kerana bank akan menganggap pencarum mengalami masalah kewangan.

Perkongsian itu sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai apabila ia akan memberi kesan kepada masa depan pencarum terutamanya jika mahu membeli rumah.

Pun begitu, ramai yang menyangkal dakwaan tersebut kerana tiada sebarang bukti atau kenyataan rasmi menyatakan pengeluaran KWSP boleh memberi impak kepada permohonan pinjaman.

Malah, ada yang mendakwa indidivu tersebut mungkin tersalah fakta dengan pengecualian bayaran pinjaman atau moratorium.

“Kakak aku baru je buat pinjaman rumah lepas keluarkan i-sinar, i-citra bagai, tak ada efek pun”.

“Sebagai seorang bekas banker, permohonan tak berkait dengan pengeluaran KWSP. Bank tengok komitmen, mampu ke bayar loan. Melainkan buat moratorium, then baru bank akan rekod ada masalah kewangan”.

“Memang takkan kacau permohonan pinjaman, tapi ada juga dengar sesetengah bank je. Agak berisiko buat statement macam tu,” tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, KWSP mengumumkan permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022.

Tarikh akhir permohonan adalah pada 30 April 2022 manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April depan.

Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, serta perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun Dua mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun Satu.

BACA : Permohonan Pengeluaran Khas KWSP Boleh Dibuat Bermula 1 April, Tapi Ini Yang Terakhir?

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar