“Lagu ‘Bukan Lagi Kita’ Menceritakan Kisah Hidup Saya” - Nadeera Kongsi Simbolik Tukar Warna Baju Atas Pentas
Pertama kali beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi Nadeera menzahirkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai naib juara.
Ujar Nadeera atau pemilik nama penuh Farah Nadeera Zaini dia tidak menjangkakan langsung kemenangan ini.
Sebaliknya, menganggap peluang untuk berada pentas itu sendiri sudah cukup besar sebagai pengiktirafan kepada perjalanan seninya.
“Saya dah lama idamkan ini,sejak 10 tahun lalu dan Allah makbulkan doa saya. Ini bayaran dan doa yang saya minta pada Allah.
“Saya rasa diri ini kerdil sangat. Syukur alhamdulillah juri dah letak saya top 3 pun saya rasa bersyukur sangat. Saya tak pernah menjangkakan kemenangan ini. Atas pentas itu saya dah buat yang terbaik.
“Dapat masuk ke final AJL ini juga sudah menjadi kemenangan buat diri saya. Menjadi naib juara ini pun sudah menjadi rezeki besar buat saya,” ujarnya ketika ditemui Gempak selepas sidang media Anugerah Juara Lagu-39 (AJL39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Simbolik persembahan
Mengulas mengenai pesembahannya pada malam tadi, penyanyi asal Mersing itu memaklumkan bahawa lagu hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu cukup dekat dengan kisah kehidupannya.
“Lagu yang dicipta ini juga menceritakan tentang kisah saya juga.
“Penari yang ada di atas pentas bersama saya tadi melambangkan simbolik orang yg pernah hadir dalam hidup saya dan memporak perandakan hidup saya.
“Pada awal saya masuk saya gayakan baju hitam, kemudian saya tukar baju jadi putij maksudnya saya dah move on,” ujarnya lagi.
AJL39 kali ini menyaksikan Lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai juara keseluruhan AJL39.
Sementara, naib juara pula menjadi lagu milik Nadeera, Bukan Lagi Kita dan tempat ketiga menjadi milik Saksama nyanyian Akim & The Majistret.
Vokal Terbaik pula milik Ernie Zakri menerusi karya Aura dan Puas Sudah dendangan Aina Abdul diangkat sebagai penerima trofi Persembahan Terbaik.