Viral
Lelaki Pekak Alun Al-Fatihah Raih Tumpuan
Tular satu video memaparkan seorang pemuda mengalunkan bacaan al-Fatihah meskipun dirinya merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Usaha pemuda berkenaan dipuji ramai kerana mampu menghabiskan al-Fatihah dengan baik walaupun kekurangan dari segi sebutan dan difahamkan hanya menghafal surah tersebut serta beberapa zikir pilihan.
BERITA BERKAITAN: "Saya Minta Maaf Deh..." - DSV Tak Nak Meriyak, Sebak Alun Surah Ar-Rahman Ketika IG Live
BERITA BERKAITAN: "The Other Side Of Him Yang Mungkin Tak Ramai Akan Nampak .." - Video Haqiem Rusli Alun Ayat Al-Quran Jadi Perhatian Netizen
Suri rumah, Nazurah Izzaty Dziauddin, 25, berkata, suaminya, Ariff Mukhtar Ayub, 25, berlatih bertutur dan mengaji sejak kecil menggunakan bantuan alat pendengaran.
“Dia memang pekak sejak kecil, tahu baca al-Fatihah dan zikir sahaja sebab ada ibu dan ustazah yang ajar. Saya pula dilahirkan normal cuma ketika usia tiga tahun disahkan OKU pendengaran akibat demam panas.
“Saya memang selalu buat video dan rekod aktiviti kami berdua memandangkan baru berkahwin pada Oktober lalu. Kami guna bahasa isyarat ketika berkomunikasi, kalau di rumah memang tenang.
“Jadi, apabila video tersebut tular, memang terkejut. Tetapi, syukur Alhamdulillah ramai beri komen positif, sudi tegur baik-baik dan mendoakan kebahagiaan kami berdua,“ katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Hantaran dimuat naik wanita terbabit membuatkan pengguna media sosial TikTok sebak kerana kegigihan suaminya yang cuba mengalunkan al-Fatihah dengan lancar dan tidak jemu belajar ilmu agama.
Ada juga yang berpendapat, solatnya sah sekiranya menjadi imam kepada isteri lantaran itu sahaja kemampuan dimiliki dan selebihnya hanya ALLAH SWT mengetahui setiap butiran perkataan dilontarkan.
Nazurah Izzaty berpandangan, meskipun dia dan suami kehilangan deria pendengaran, ia bukan halangan dalam melayari bahtera rumah tangga asalkan masing-masing faham tanggungjawab serta mampu membimbing antara satu sama lain.
“Saya kenal suami pun melalui media sosial sejak 2016 lagi, memang dah tahu hati budi masing-masing.
“Setakat ini tiada masalah dari segi komunikasi dan orang luar pun faham tentang kekurangan kami berdua lebih-lebih lagi suami kerana dia pemandu e-hailing.
“Kebanyakan penumpang memang hormat dan tahu, mereka juga guna bahasa isyarat kalau nak ucap terima kasih, bagi saya itu sudah memadai,“ ujarnya lagi.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video