Hiburan
Lelaki Serang Kamal Adli Mengaku Bersalah, Dihukum Penjara Selama 2 Tahun
Lelaki yang menyerang pelakon, Kamal Adli menggunakan belantan di Singapore Expo pada Mac tahun lepas, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun, empat bulan dan dua minggu oleh mahkamah Singapura pada Khamis.
Tertuduh Mengaku Bersalah
Tertuduh yang dikenali sebagai Muhammad Nabil Rashid, 34, yang juga warga Singapura pada 31 Januari lalu mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyerang dan dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap individu lain.
Yang tertuduh turut mengaku dirinya melakukan kesalahan itu kerana beranggapan bahawa pelakon tersebut mencabul saudara wanitanya.
Jalani Penilaian Psikiatri
Terdahulu, lelaki berkenaan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi menjalani penilaian psikiatri.
Dia didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac 2023 kerana terbabit dalam 'kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya'.
Kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu.
Pada 12 Mac 2023, pihak polis dimaklumkan mengenai serangan di 1 Expo Drive iaitu suspek didakwa menyerang seorang lelaki berusia 36 tahun dengan belantan.
Akibat kecederaan itu, Kamal terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Kamal Adli dan isterinya, Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 di Hall 5A Singapore Expo apabila insiden itu tercetus di penghujung acara.
BERITA TRENDING: "Tak Boleh Berhenti Senyum" - Kamal Adli, Uqasha Senrose Bakal Timang Baby Girl!
BERITA TRENDING: Trauma Kena Pukul, Kamal Adli Kurang Main Media Sosial - "Rasa Takut, Auto Hilang Mood..."
Sumber: BERNAMA