Laman Utama
#ListenToAided: Lima Artikel Menarik Tentang Dunia Muzik Sejak Tahun Lalu
Industri muzik di Malaysia sememangnya dipenuhi pelbagai warna, tidak kurang juga pasang surut baik dari segi pemasaran mahupun penjenamaan seseorang artis itu sendiri.
Sebaik sahaja diberi peluang untuk menulis kolum muzik oleh pasukan kami tahun lalu, saya sangat teruja meskipun diri ini bukanlah datang dari latar belakang muzik. Namun rasa membuak-buak hadir setiap minggu untuk berkongsi secebis rasa minat dan pandangan secara ikhlas kepada wargamaya.
Dalam beberapa edisi #ListenToAided, ada juga temubual eksklusif dan beberapa pandangan penyanyi yang saya kongsikan kepada pembaca dengan harapan mampu mencetus inspirasi.
Justeru, dalam coretan terakhir untuk kolum #ListenToAided, saya imbaskan kembali lima artikel menarik dan yang saya gemari sepanjang berkesempatan mengendalikan ruangan ini.
Artikel ini disiarkan pada 8 Februari 2021, namun kolum ini ketika itu digelar '#GempakMuzik' kerana belum dinamakan semula kepada '#ListenToAided'. Bagaimanapun, konsepnya sama sahaja.
Kelahiran pertama ruangan ini membincangkan tentang impak lagu nyanyian semula yang sememangnya luar biasa. Tak dinafikan, ramai artis tempatan mahupun di negara luar menyanyikan semula lagu lama dan mampu menjadikannya popular. Cuma kadang-kadang ramai yang tidak perasan atau perbezaan generasi membatasi pengetahuan tentang perkara tersebut.
Artikel ini menampilkan perkongsian Aina Abdul tentang perjalanan kerjaya seni, cabaran berhadapan pandemik, detik sukar dalam kerjaya dan pendiriannya dalam berfesyen.
Selain itu, Aina juga mendedahkan bahawa dia amat mengagumi penyanyi antarabangsa Lara Fabian.
Sejujurnya, Aina Abdul merupakan salah seorang penyanyi yang paling saya minati. Jadi, untuk menulis tentang dirinya, tentu sekali memberi semangat luar biasa!
Sebelum 2021, program All Together Now hanya dijalankan di luar negara dan tahun lalu adalah kali pertama negara kita menghasilkannya.
All Together Now Malaysia (ATNMY) memaparkan kemeriahan dan sifat muhibah antara juri dan serta pelbagai kisah para peserta, ada yang gembira, ada juga yang membuat kita bergenang air mata.
Hujung tahun lalu, kolum ini menampilkan lima penyanyi yang menyerlah sepanjang 2021.
Antara yang ketara dengan kemunculan yang kerap dan peningkatan prestasi adalah Kaka Azraff, Aina Abdul, Shiha Zikir, Noki K-Clique dan Yonnyboii.
Pada 13 Januari lalu, saya menulis tentang pandangan sifu muzik tanah air, Datuk M. Nasir tentang fenomena pertandingan nyanyian di televisyen.
Menurut beliau, orang ramai suka melihat drama dan macam-macam kejadian yang dipaparkan dalam sesuatu pertandingan nyanyian.
Demikianlah antara tulisan yang pernah saya hasilkan untuk kolum muzik ini. Semoga perkongsian serba kecil itu mampu menarik minat anda semua.
Terima kasih.