Mahu Bawa Malaysia Ke Persada Dunia, Lan Pet Pet Dah ‘Ready’ Nak Sertai Asia’s Got Talent - “Antara Bakat Yang Akan Ditonjolkan…”
Pelawak, Lan Pet Pet memaklumkan dia bakal menyertai pertandingan Asia’s Got Talent sebelum dirinya berhijrah ke Kota Madinah tahun hadapan.
Menurut Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, 55, dia sudah melakukan persiapan yang cukup sebelum menyertai pertandingan tersebut.
“Saya ada satu program yang saya nak masuk iaitu Asia Got Talent sebelum saya berhijrah ke kota Madinah... itu mungkin yang terakhir.
“Saya masuk seorang diri sahaja. Saya sudah lakukan persiapan untuk memasuki pertandingan itu. Saya juga perlu belajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris sebab saya bakal menetap di Madinah.
“Antara bakat yang bakal saya tonjolkan adalah bunyi dan macam-macam lagi. Untuk pertandingan ini saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya kepada Gempak.
Lan Pet Pet berkata demikian ketika menghadiri majlis Doa Selamat dan majlis kenduri kesyukuran Senario yang berlangsung di AL- Maliki, Puncak Alam, Selangor.
Pada masa yang sama, dia juga berkongsi pengalaman dirinya pernah mencuba untuk menyertai pertandingan Asia’s Got Talent pada tahun 2005.
“Saya pernah cuba untuk daftarkan diri pada tahun 2005, masa itu saya dalam perjalanan mahu menyertai ujibakat Asia Got Talent di Sunway dan masa saya sampai program itu sudah tutup pada pukul enam petang.
“Pada ketika itu saya rasa mungkin saya perlu bersedia lebih awal untuk menyertai pertandingan itu,” jelasnya.
Mahu menaikkan nama negara ke persada dunia antara salah satu faktor ahli kumpulan Senario ini mahu menyertai program realiti antarabangsa itu.
“Kenapa saya nak sangat memasuki pertandingan itu adalah saya mahu naikkan nama Malaysia ke persada dunia.
“Kalau dulu Arwah Sudirman adalah penghibur nombor satu di Asia, saya nak menaikkan nama Malaysia kerana kita bukanlah pahlawan tapi kita adalah pencinta negara,” ulasnya.
Terdahulu, Lan Pet Pet mendedahkan bahawa dia bakal berhijrah di Kota Madinah kerana dia mahu dekat dengan Rasulullah S.A.W.