“Menitik Juga Air Mata Ketika Dengar Hukuman..” - Da'i Fuad Minta Netizen Henti Kecam Isteri & Anak Da'i Syed
Pendakwah bebas Da'i Fuad meluahkan rasa simpati dengan nasib menimpa rakannya iaitu Da'i Syed yang dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan pada Jumaat lalu.
Gugur air mata sebagai rakan
Menerusi satu ciapan di aplikasi X, Fuad akui mendengar keputusan serta hukuman dihadapi Syed turut membuatkan air matanya sebagai rakan gugur.
"Isu Syed, sebagai rakan Da'i saya terkelu lidah dan rasa tidak menentu serta serba salah hari ini (semalam).
"Menitik juga air mata ketika terdengar berita hukuman berkenaan tersebar sebelum solat Jumaat.
"Ujian ini bukan sahaja untuk dia tetapi kami semua. Kami mohon maaf," tulisnya.
Henti kecam Dai Syed
Sementara itu, Fuad merayu agar kecaman terhadap Syed dihentikan kerana pendakwah itu sudah menerima hukuman hasil perbuatannya.
Tambah Fuad, segala yang berlaku sama ada baik mahupun buruk sudah tertulis atas kuasa Allah SWT.
"Sebagai orang yang beriman kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kita berpegang bahawa takdir baik dan buruk itu semuanya di atas kekuasaan Allah.
Dalam pada itu, Fuad turut meluahkan rasa simpati terhadap isteri dan anak Syed kerana perlu meneruskan hidup dengan dugaan yang sangat berat.
"Kasihanilah juga isteri (Hana Ismail) dan anaknya yang harus menghadapi rintangan hidup yang berat ini. Apatah lagi jika mereka perlu hidup tanpa pelindung.
"Keadaan ini adalah ruang untuk kita semua bermuhasabah dan sedar bahawa setiap daripada kita bila-bila masa sahaja akan diuji.
“Bermuhasabah dan sedar bahawa setiap daripada kita bila-bila masa sahaja akan diuji.
"Semoga Allah tidak menguji kita semua dengan ujian yang berat," ujarnya.
Sekadar info, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Untuk rekod, Syed mendirikan rumah tangga dengan Hana pada 3 Disember 2022.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata Bernama Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada 14 Ogos lalu.