“Misi Mencari Rezeki Halal Demi Anak & Bayar Hutang” - Akaun Tiktok Datuk Red Jadi Perhatian Netizen
Perkongsian yang dimuat di sebuah akaun TikTok menggunakan nama @dato… red dipercayai milik suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu telah mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi hantaran yang dikongsikan, Adnan atau mesra disapa sebagai Datuk Red berkata dia kini dalam usaha untuk mencari pekerjaan dan meminta bantuan mana-mana pihak sekiranya sudi membantu.
“Misi mencari pekerjaan. Harap ada yang sudi,” tulisnya secara ringkas.
Menerusi ruang komen, Adnan memberitahu tujuan dia mencari pekerjaan disebabkan mahu mendapatkan wang bagi menyara keluarga dan melunaskan hutang.
“Terima kasih semua. Saya nak mencari rezeki yang halal demi anak-anak dan membayar hutang.
“Semoga tuan-tuan semua dimurahkan rezeki,” katanya.
Sementara itu, terdapat segelintir netizen yang berasa ragu-ragu dan mempersoalkan adakah benar akaun tersebut kepunyaan suami Adira.
Menjawab kepada pertanyaan itu, Adnan menerusi komen yang ditinggalkan di ruangan balas mengesahkan bahawa akaun atas nama @Datored adalah kepunyaanya.
Terdahulu, Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan Adira dan suaminya Datuk Seri Adnan gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai berhubung proses perceraian mereka.
Pada prosiding tersebut, Datuk Red tidak mahu menceraikan isterinya manakala Adira tetap berpendirian untuk berpisah. Mahkamah kemudian menetapkan kes dibawa ke peringkat Hakam pada 24 April 2024.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.