Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Misscelyn Jadi 'Anakanda Angkat' Tunku Azizah, Ibu Mimpi Anak Dimandikan Atas Dulang Emas

Maliah Surip 03/11/2023 | 04:45 MYT
Kisah adik Missclyen yang menghidap sindrom Congenital Generalised Hypertrichosis sehingga membuat wajahnya ditumbuhi bulu sedang menjadi perhatian.
Apatah lagi apabila keadaan penyakit dan fizikal Misscelynn mendapat tumpuan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Program Kembara Kenali Borneo singgah di Kampung Penan Muslim, Batu 10, Bintulu pada 10 September lalu.
Seri Paduka Baginda baru-baru ini berkenan untuk menjadikan Misscelyn sebagai 'anakanda angkat', dengan warkah rasmi dari Istana Negara telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Tidak habis melahirkan rasa syukur terhadap rezeki anaknya, bapa Missclyen, Roland Jimbai, 48, berkongsi kisah unik anak perempuannya yang kini berusia dua tahun.

BERITA TRENDING: Berpakaian Ringkas, PERMAISURI KITA Turun Masak Untuk Rakyat Terkesan. “Sedap Masakan...

Roland memaklumkan kepada media, dia dan isteri, Theresa Guntin, 29, pernah mencukur bulu-bulu pada anaknya sekitar tahun lalu.
Missclyen bagaimanapun berteriak dan menangis enggan dicukur sekitar setahun lalu. Kemudian selepas bulu-bulu itu hilang, dia mendapat demam.
"Emaknya yang mencukur pula hampir pengsan, selepas itu. Jadi cukuplah sekali kami melakukannya kerana selepas itu, bulu di muka dan badannya semakin lebat,” kata Roland seperti dilaporkan Sinar Harian.
Bercerita lebih lanjut, anak istimewa tersebut lahir pada 5 Mei 2021 iaitu saat negara sedang berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah terjadi hal mistik saat isterinya hamil kerana telah bermimpi bahawa anak yang bakal lahir ini cukup istimewa kerana dimandikan di atas dulang emas.
Mengulas tentang anaknya menjadi anak angkat permaisuri, keluarga tersebut menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga.
"Saya hendak ucapkan ribuan terima kasih kepada baginda Raja Permaisuri Agong kerana sudi mengambil anak saya ini sebagai anak angkat.
"Saya betul-betul bersyukur kepada tuhan kerana baginda mempunyai rasa prihatin akan rakyat dan memiliki kasih sayang serta rasa kemanusiaan.
"Hanya tuhan yang dapat membalas budi baik Tunku dan keluarga,” tambahnya lagi.
Dalam surat bertarikh 10 Oktober itu, Tunku Azizah turut menyatakan hasratnya menanggung perbelanjaan Missclyen melalui Roland sebagai penjaga bagi kegunaan persekolahan kanak-kanak itu.
Tunku Azizah turut menyatakan hasratnya menanggung perbelanjaan bagi mengubati penyakit CGH atau Sindrom Werewolf yang dihadapi Missclyen dengan harapan bantuan itu dapat meringankan beban Roland dalam menjaga juga membesarkan anak bongsunya.

BERITA TRENDING: “Tuanku Cerita Pengalaman 17 Kali IVF” - Elizad Rasa Macam Mimpi Dihubungi Permaisuri Agong

#Viral #Anak Angkat #Tunku Azizah #Dulang Emas #Misscelyn
;