Hiburan
“Mungkin Arwah Rasa Down Selepas Rohana Jalil Meninggal Dunia” - Salwa Abdul Rahman Kongsi Momen Terakhir Dengan Jaafar Onn
Penyanyi Datin Salwa Abdul Rahman berkongsi momen terakhir dengan Allahyarham Jaafar Onn ketika mereka bersama-sama melakukan persembahan di Plaza Masalam, Shah Alam, pada Sabtu lalu.
Kata Salwa, dia sudah berasakan Jaafar atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang akan pergi meninggalkannya selepas melihat tingkah laku arwah tidak ceria seperti selalu.
“Kenangan terakhir dengan arwah pada Sabtu lalu kami buat persembahan bersama-sama di Plaza Masalam, Shah Alam. Saya sudah beritahu dia tak perlu datang, tetapi dia mahu juga datang dan menyanyi dengan saya.
“Tetapi pada hari itu saya lihat dia tidak seperti selalu, nampak sangat lain. Dia tidak menyanyi dan berborak macam sebelum ini.
“Daripada situ saya macam agak abang Jaafar dah tak lama, jika dilihat daripada penyakit yang dihidapi,” katanya kepada Gempak.
BERITA TRENDING: Jaafar Onn Meninggal Dunia
BERITA TRENDING: Jaafar Onn Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Ketika Melalui Prosedur Endoskopi - “Doktor Ada Beritahu Berisiko Sebab…”
Salwa berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor, pada Rabu.
Hubungan Jaafar Onn & anak kandung
Sementara itu, disoal mengenai hubungan arwah dengan anak kandungnya, Salwa memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana menganggap hal itu terlalu peribadi.
“Fasal anak dia itu sangat personal. Walaupun saya rapat dengan arwah tetapi tentang anak dan keluarga saya tidak mahu tanya kerana saya anggap itu perkara yang privasi dan personal. Namun saya tahu dia sering berhubung dengan anaknya," katanya.
PILIHAN PEMBACA: Cili Padi, Tyson & Bunga Matahari, Semua Generasi Punya Kenangan Dengan Allahyarham Jaafar Onn
Jaafar Onn hilang semangat
Salwa turut mendedahkan arwah seperti sudah hilang semangat selepas pemergian beberapa rakan selebriti seperti Rohana Jalil.
“Kehilangan beberapa rakan selebriti yang pergi meninggalkan saya sangat memberi kesan. Mungkin arwah rasa down selepas Rohana Jalil meninggal dunia. Sebab umum tahu arwah sangat rapat dengan arwah Rohana.
“Nampak sangat semangat dia dah berkurang. Memang dia tidak beritahu, tetapi saya sebagai kawan nampak semangat dia hilang selepas Rohana meninggal,” ujarnya.
Untuk info, jenazah akan diuruskan dahulu di hospital sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga untuk disemadikan di Tanjung Ganding, Muar, Johor.
Terdahulu, Jaafar Onn dilaporkan telah pun menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang (HSIS) kira-kira jam 11.33 pagi Rabu.
Kesihatan arwah dilaporkan merosot sebelum ditahan wad HSIS selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar.