Netizen ‘Edit’ Gambar Dhabitah Sabri, Jiggy Mahu Teruskan Tindakan Undang-Undang - “Benda Itu Sudah Jadi perkara Mengaibkan…”
Pelawak Jiggy memaklumkan dia tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang menyunting gambar isterinya yang juga penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri sehingga menjadi bahan jenaka di Facebook.
Teruskan Tindakan Undang-Undang
Menurut Jiggy, individu tersebut tidak akan dilepaskan dan perlu diberi pengajaran memandangkan apa yang dilakukan itu melampau.
"Tindakan akan diambil fasal bagi saya benda itu sudah jadi perkara mengaibkanlah kerana dah edit yang bukan-bukan dan apa saja.
“Jadi, tunggulah. Nanti kita jumpa ya. Jaga-jaga jangan terpijak tahi lembu," katanya ketika ditemui Gempak.
Jiggy yang ditemui di Lapangan Terbang Terminal 1 sebentar tadi menganggap individu yang membuka aib isterinya itu perlu berani berhadapan tindakan undang-undang pada bila-bila masa.
Peguam Nasihat
"Tapi orang yang terlibat dengan kes saman itu, saya akan teruskan dan peguam saya nasihat agar tidak memberi sebarang kenyataan buat masa ini. Apa-apa pun, tindakan akan diambil," ujar Jiggy.
Dalam pada itu, Jiggy yang tiba di lapangan terbang seawal pukul 2 petang turut melahirkan rasa rindu terhadap isterinya setelah sekian lama tidak bertemu.
Sebelum ini Jiggy meluahkan rasa berang apabila terdapat netizen yang menyunting gambar isterinya yang juga penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri sehingga menjadi bahan jenaka di Facebook.
Menerusi Instastory Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri berkata dia masih mampu untuk bersabar dengan komen negatif namun kesabarannya tercabar disebabkan tindakan netizen itu.