Netizen Tanya Penat Tak Jadi Seorang Khairul Aming, Ini Respons Tuan Badan - “Sedih Bila Orang Cakap…”
Usahawan terkenal, Khairul Aming mengakui penat menjadi seorang pempengaruh yang terkenal.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, netizen bertanyakan kepada Khairul sama ada sukar untuk bergelar seorang ‘influencer’.
undefinedTidak mudah
Menjawab kepada soalan tersebut, personaliti media sosial berusia 33 tahun itu tidak menafikan bahawa menjadi seorang ‘Khairul Aming’ bukanlah sesuatu yang mudah kerana kesibukan kerja.
“Penat tak jadi KA (Khairul Aming)? Penat, tapi penat tu hilang kalau orang memahami kepenatan yang KA ada.
“Kadang-kadang susah, saya cakap jujur ramai orang cari saya. Kalau korang macam stress nak dekati KA tapi tak dapat-dapat jawapannya ialah bukan seorang dua yang cari saya, banyak.
“Sampai tak tahu nak decline macam mana, tak masuk lagi saudara mara, kawan-kawan, sekolah, universiti, rumah anak yatim, zoo, klinik haiwan, founder jual produk, nak suruh berlakon ada, jadi model, jadi duta banyak lah, jadi kalau senaraikan tak habis,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul bagaimanapun memanjatkan rasa syukur dengan rezeki yang diterima namun ada kalanya terkilan dengan kata-kata orang ramai yang menyifatkan dirinya sebagai sombong hanya kerana dia tidak mampu mematuhi segala permintaan.
“Saya bersyukur dengan rezeki alhamdulillah, tapi KA sedihlah bila kita cuba jelaskan yang kita tak boleh buat (kerja), orang cakap kita sombong.
“Tapi itu lumrahlah karier ni, sebab tu KA sekarang kalau orang tanya saya kena beri jawapan direct terus, saya tak boleh biarkan orang tertunggu-tunggu,” jelasnya.
Sekadar info, Khairul Aming mula terkenal selepas memuat naik konten masakan di media sosial.